Selasa, 30 Januari 2024 | 8:35am
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken (kanan) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, pada sidang media bersama di Jabatan Negara, Washington DC, AS. - Foto AFP
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken (kanan) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, pada sidang media bersama di Jabatan Negara, Washington DC, AS. - Foto AFP

Blinken beri amaran masa depan Ukraine malap tanpa bantuan AS

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberi amaran bahawa kejayaan Ukraine dalam pertempuran selama dua tahun tidak akan bermakna tanpa pembiayaan baharu bantuan perang AS.

AS menghantar puluhan bilion dolar bantuan ke Ukraine sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.

Bagaimanapun, penggubal undang-undang Republikan semakin keberatan untuk terus menyokong Kyiv, dengan mengatakan tiada gambaran jelas mengenai kesudahan pertempuran menentang tentera Presiden Vladimir Putin.

Blinken memberikan gambaran mengerikan itu berhubung prospek Ukraine tanpa kelulusan AS untuk pembiayaan tambahan bantuan perang.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg.

"Tanpa itu (dana), secara ringkasnya, semua kejayaan diraih Ukraine dan bantuan diberikan selama ini untuk mengecapinya akan terancam.

"Ketiadaan bantuan tambahan akan menghantar mesej yang kuat dan salah kepada semua musuh bahawa kita tidak serius dalam mempertahankan kebebasan dan demokrasi," kata Blinken pada sidang akhbar bersama Stoltenberg.

Presiden AS, Joe Biden, meminta Kongres untuk meluluskan AS$61 bilion (RM288 bilion) bantuan baharu kepada Ukraine.

Bagaimanapun, rundingan itu terhenti apabila penggubal undang-undang Republikan berang dengan rekod aliran pendatang di sempadan AS dengan Mexico.

Ia menuntut perubahan besar ke atas dasar imigresen dan kawalan sempadan sebagai pertukaran untuk meluluskan lebih banyak dana untuk Ukraine.

Stoltenberg berkata beliau akan bertemu penggubal undang-undang AS hari ini dengan menegaskan bahawa sokongan untuk Ukraine adalah 'demi kepentingan keselamatan kita sendiri'.

"Ia akan menjadi tragedi bagi rakyat Ukraine sekiranya Presiden Putin menang dan dunia akan menjadi lebih berbahaya bagi kita semua.

"Ia juga akan menggalakkan pemimpin autoritarian lain, bukan sahaja Presiden Putin, tetapi juga Korea Utara, Iran dan China untuk menggunakan kekerasan.

"Hari ini ia berlaku kepada Ukriane, esok mungkin berlaku pada Taiwan. saya tahu ramai anggota Republikan juga menentang pendirian China," katanya.

Donald Trump, calon Republikan yang berpotensi bertanding pada pemilihan presiden AS November ini dan sering memuji Putin, kini menggesa anggota Republikan menolak dasar imigresen yang dirundingkan di Kongres.

Ia juga secara tidak langsung menjejaskan kelulusan bantuan perang kepada Ukraine, yang turut dibentangkan di Kongres sekarang. - AFP

Berita Harian X