Isnin, 29 Januari 2024 | 8:26am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, pada mesyuarat menbanteras dadah fentanyl daripada memasuki negara itu di Bilik Roosevelt, Rumah Putih, Washington, AS. - Foto REUTERS
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, pada mesyuarat menbanteras dadah fentanyl daripada memasuki negara itu di Bilik Roosevelt, Rumah Putih, Washington, AS. - Foto REUTERS

AS, China mesyuarat mengenai dadah fentanyl minggu ini

WASHINGTON: Mesyuarat bersama pertama kumpulan kerja Amerika Syarikat (AS)-China mengenai prekursor atau bahan asas pembuatan dadah sentetik fentanyl akan diadakan esok di Beijing, kata seorang pegawai kanan AS.

"Ini adalah bahagian penting dalam pelaksanaan kerjasama dua hala kami dalam usaha membanteras fentanyl," kata pegawai AS itu kepada pemberita.

Penolong Timbalan kepada Presiden dan Timbalan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri, Jen Daskal, akan mengetuai delegasi antara agensi AS.

Ia membabitkan pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Keadilan, Negeri dan Perbendaharaan, menurut satu kenyataan daripada jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS.

Fentanyl adalah penyebab utama kes pengambilan dadah melebihi dos di AS, yang didakwa diperoleh dari China selaku negara sumber utama bahan kimia asas bagi pembuatan dadah yang disintesis menjadi fentanyl oleh kartel dadah di Mexico, namun dinafikan China.

Pegawai AS juga mendakwa mempunyai mempunyai maklumat bahawa China sudah memulakan tindakan terhadap syarikat kimia pelopor berkenaan di China, ketika sidang kemuncak Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping pada November lalu.

Pegawai terbabit menjelaskan, AS akan meneruskan tindakan penguatkuasaan undang-undang dan mengenakan kawalan ke atas bahan prekursor itu dan agenda penting pada mesyuarat kali ini adalah berkenaan isu itu.

Difahamkan, pegawai tertinggi China dan AS akan mengadakan perbincangan terbuka di Bangkok, bertujuan meredakan ketegangan, menjelang panggilan yang dijangkakan antara Biden dan Jinping pada musim bunga ini.

Biden dan Jinping membincangkan usaha mengurangkan aliran fentanyl pada sidang kemuncak di California tahun lalu.

AS sebelum ini membuat rampasan dadah terlarang yang digunakan untuk membuat fentanyl di lapangan terbang negaranya selepas China bertindak menutup syarikat yang menghasilkannya.

China memulakan beberapa perbincangan dengan Mexico mengenai isu sama, kata pegawai AS semalam.

"Isu ini sangat penting kerana membabitkan pelbagai hala," kata pegawai itu.

Awal bulan ini, interaksi antara China dan AS termasuk pertemuan di Washington antara pegawai kanan China, Liu Jianchao dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Selain itu, Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, mengadakan panggilan telefon dengan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao dan rundingan ketenteraan disambung semula selepas lama menemui jalan buntu. - REUTERS

Berita Harian X