Sabtu, 27 Januari 2024 | 8:48am
Donald Trump. - Foto REUTERS
Donald Trump. - Foto REUTERS

Juri arah Trump bayar RM393 juta untuk fitnah, serangan seksual

NEW YORK: Juri di New York mengarahkan bekas presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon presiden 2024, Donald Trump membayar AS$83.3 juta (RM393.8 juta) sebagai pampasan kepada penulis E Jean Carroll yang diserang secara seksual dan difitnah.

Perintah sivil itu disifatkan jauh melebihi ganti rugi fitnah yang dituntut Carroll iaitu lebih AS$10 juta (RM47.275 juta).

Bagaimanapun, Trump mengecam merta dan menyifatkan keputusan itu "tidak masuk akal" dalam satu kenyataan dan berjanji untuk mengemukakan rayuan.

Ketika perbicaraan itu, dilaporkan Trump hadir di mahkamah lebih awal, tetapi tidak berada di mahkamah ketika pampasan dan ganti rugi punitif dibacakan seorang kerani mahkamah.

Berikutan keputusan itu, peguam Trump, Alina Habba hanya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan mahkamah.

Sementara itu, Hakim Lewis Kaplan, turut mengarahkan sembilan juri yang mencapai keputusan selepas tiga jam perbincangan untuk meninggalkan bilik mahkamah bagi melindungi privasi mereka.

"Ia jelas kepada saya dan semua juri memberi perhatian," katanya.

Perintah itu terdiri daripada ganti rugi punitif AS$65 juta (RM307.2 juta) selepas juri mendapati Trump bertindak jahat dalam banyak komen awamnya mengenai Carroll, ganti rugi pampasan AS$7.3 juta (RM34.5 juta) dan AS$11 juta (RM52 juta) untuk program pembaikan reputasi.

Juri mendapati Trump, 77, bertanggungjawab atas serangan seksual terhadap Carroll dalam kes sivil persekutuan yang berasingan di New York, menggunakan platform Truth Socialnya untuk melancarkan rangkaian mesej menghina yang menyerang Carroll, perbicaraan dan hakim.

Bagaimanapun, Trump, secara ringkas mengambil pendirian menafikan dia mengarahkan sesiapa sahaja untuk membahayakan Carroll dengan kenyataannya.

Ketika keterangan Trump, Kaplan mengehadkan hanya tiga soalan daripada peguamnya, yang dia hanya boleh menjawab ya atau tidak sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghalang pemimpin Republikan itu daripada kembali kepada kebiasaannya memperlekehkan mahkamah atau Carroll di khalayak ramai.

"Ini bukan Amerika," kata Trump sambil meninggalkan bilik mahkamah berikutan penampilan singkatnya selain ingin menonjolkan dirinya sebagai mangsa ketika berkempen untuk kembali ke Rumah Putih pada pilihan raya November.

Trump secara berasingan menghadapi pelbagai kes jenayah, termasuk dakwaan percubaannya untuk menggulingkan keputusan pilihan raya presiden 2020 selepas tewas kepada Joe Biden, dan kes penipuan perniagaan sivil. - AFP

Berita Harian X