Khamis, 25 Januari 2024 | 9:25pm
Foto hiasan - REUTERS
Foto hiasan - REUTERS

Amerika Selatan diancam serangan nyamuk, kes denggi melonjak

BRASILIA/MONTEVIDEO: Amerika Selatan bergelut dengan lonjakan kes denggi pada musim panas sehingga mendorong Brazil melancarkan kempen vaksin baharu, dan banyak kedai di Argentina kehabisan stok semburan racun serangga.

Brazil mula melakukan semburan racun serangga dari trak, bulan ini, ketika kes denggi turut mengancam wilayah yang tidak terkesan sebelum ini.

Hospital di Paraguay pula membuka klinik waktu malam untuk menampung keperluan susulan peningkatan pesakit denggi.

Argentina merekodkan lebih 12,500 kes denggi, bulan lalu, menurut buletin kesihatan rasmi terkini.

Angka itu mencatat lonjakan besar berbanding statistik dalam tempoh sama tahun lalu, menyebabkan amaran kesihatan dikeluarkan dan berlaku kekurangan stok racun serangga dalam pasaran.

"Racun serangga habis dijual di serata tempat. Begitu banyak nyamuk di sekeliling.

"Bagaimanapun, keadaan dilihat semakin baik berbanding pada awal bulan ini," kata penduduk Buenos Aires, Laura Ledesma.

Di Brazil, jumlah kes denggi meningkat dua kali ganda pada minggu pertama bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Brazil bakal menjadi negara pertama di dunia menawarkan vaksin denggi menerusi sistem kesihatan awam yang mana menurut pegawainya, ia dijangka bermula beberapa hari lagi. - REUTERS

Berita Harian X