Khamis, 25 Januari 2024 | 9:18am
Jet F-16 Tentera Udara Turkiye mendarat di Lapangan Terbang Incirlik, Adana, Turkiye. - Foto REUTERS
Jet F-16 Tentera Udara Turkiye mendarat di Lapangan Terbang Incirlik, Adana, Turkiye. - Foto REUTERS

AS mahu jual pesawat F-16 kepada Turkiye

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghantar surat kepada Ahli Kongres bagi menggesa kelulusan penjualan pesawat Lockheed Martin F-16 dan kelengkapan moden kepada Turkiye.

Pakej jualan itu bernilai AS$20 bilion, menurut empat sumber yang berkaitan dengan surat itu.

Parlimen Turkiye sebelum ini meratifikasi permohonan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sekali gus menyelesaikan halangan besar untuk memperbesar pakatan tentera terbabit, selepas 20 bulan tertangguh.

Menurut sumber, surat Biden dihantar semalam dan pentadbiran belum memaklumkan secara rasmi kepada Kongres mengenai rancangan penjualan terbabit.

Kelewatan Turkiye dalam meluluskan ratifikasi itu menjadi penghalang utama untuk meraih kelulusan Kongres bagi perjanjian jet pejuang itu.

Penggubal undang-undang berkata, mereka sedang menunggu kelulusan termasuk tandatangan Presiden Tayyip Erdogan sebelum memutuskan sama ada meluluskan penjualan itu.

Dalam pada itu, Rumah Putih masih belum memberikan reaksi berhubung perkara itu. - REUTERS

Berita Harian X