Ahad, 21 Januari 2024 | 4:34pm
Presiden Dina Boluarte semasa meletakkan batu asas untuk pembinaan jalan di daerah Chiara di wilayah Ayacucho, kira-kira 570km tenggara Lima, pada 21 Januari 2024. - Foto AFP
Presiden Dina Boluarte semasa meletakkan batu asas untuk pembinaan jalan di daerah Chiara di wilayah Ayacucho, kira-kira 570km tenggara Lima, pada 21 Januari 2024. - Foto AFP

Presiden Peru ditahan penunjuk perasaan ketika majlis awam

LIMA: Seorang penunjuk perasaan secara ganas menahan Presiden Peru, Dina Boluarte pada satu acara di wilayah selatan, Ayacucho pada Sabtu.

Siri tunjuk perasaan antikerajaan yang sudah berlanjutan sejak lebih setahun lalu menyaksikan 10 orang sudah terbunuh.

Rakaman TV menunjukkan Boluarte yang berpakaian tradisional dikelilingi orang ramai ketika dia sedang mengagihkan manisan, secara tiba-tiba seorang wanita menghampiri dan menangkapnya.

Adegan huru-hara tercetus, mengakibatkan polis campur tangan untuk memisahkan wanita itu dengan Boluarte, yang dilihat tidak mengalami kecederaan dan meneruskan acara itu.

Wanita itu berkata, dia menganggap Boluarte bertanggungjawab atas kematian suaminya semasa protes yang berlangsung pada Disember 2022 di Ayacucho.

Boluarte, 61, kembali berkuasa selepas bekas presiden berhaluan kiri, Pedro Castillo sebelum ini cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri, namun kemudian ditahan.

Protes ganas menuntut Boluarte berundur diikuti pilihan raya baharu diadakan di seluruh negara.

Menurut Human Rights Watch, Tindakan keras oleh pasukan keselamatan sebelum ini telah menyebabkan hampir 50 orang terbunuh, membangkitkan tuduhan bahawa pihak berkuasa sudah melakukan pembunuhan secara sewenang-wenangnya dan di luar batas undang-undang.

Selepas insiden pembunuhan itu, pelbagai prosiding undang-undang bagi menuduh agar Boluarte bertanggungjawab atas kematian itu dilancarkan.

Menteri Dalam Negeri, Victor Torres berkata tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota yang bertanggungjawab memantau keselamatan presiden, sementara pengawal peribadinya juga akan diberhentikan.

Perdana Menteri, Alberto Otarola mengecam serangan itu dengan menyatakan peristiwa malang ini membahayakan keselamatan ketua negara dan ia begitu serius.

"Dengan keganasan, kita semua gagal dalam menjaga sebuah negara," ciapnya di X.

Boluarte ialah presiden ke enam Peru sejak Mac 2018 dan wanita pertama menggalas tanggungjawab itu. - AFP

Berita Harian X