Sabtu, 20 Januari 2024 | 9:35am
Penunjuk perasaan ketika menyertai ‘March on Washington for Gaza’ sebagai sokongan kepada rakyat Palestin, di Lafayette Park berhampiran Rumah Putih di Washington. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan ketika menyertai ‘March on Washington for Gaza’ sebagai sokongan kepada rakyat Palestin, di Lafayette Park berhampiran Rumah Putih di Washington. - Foto REUTERS

Pemimpin Demokrat desak pentadbiran Biden bertindak susulan korban tinggi rakyat Palestin

WASHINGTON: Puluhan pemimpin Demokrat, parti diwakili Joe Biden, menandatangani surat semalam, bagi menggesa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) itu supaya menyuarakan kembali tentangan terhadap pemindahan secara paksa dan kekal ke atas penduduk Palestin dari Gaza.

Surat ditujukan kepada Setiausaha Negara, Antony Blinken itu, diketuai wakil AS, Ayanna Pressley dan Jamie Raskin, sebelum ia ditandatangani 60 ahli Dewan Perwakilan Demokratik.

Ia menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah korban yang tinggi membabitkan orang awam Palestin dalam kempen ketenteraan Israel menentang Palestin.

"Kami menggesa anda untuk terus mengulangi komitmen tegas AS terhadap kedudukan ini dan meminta penjelasan mengenai peruntukan tertentu membabitkan permintaan pendanaan kemanusiaan dan keselamatan tambahan pentadbiran," menurut surat itu.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Negara, kebiasaannya pihak berkenaan tidak mengulas mengenai koresponden kongres.

Namun katanya mengenai isu pemindahan itu, pihaknya jelas bahawa ia tidak akan berkekalan.

"Semestinya tiada pemindahan paksa rakyat Palestin yang berkekalan, sama ada di dalam Gaza atau di luar," katanya melalui e-mel.

Menurut jurucakap itu, Jabatan Negara sudah menolak kenyataan beberapa pegawai Israel yang meminta untuk penempatan semula rakyat Palestin di luar Gaza.

Katanya, pihaknya difahami daripada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, bahawa desakan itu bukan dasar kerajaan Israel.

Sebelum ini, AS dilaporkan memberikan dana bantuan ketenteraan tahunan kepada Israel sebanyak AS$3.8 bilion (RM17.91 bilion).

Malah, Biden juga meminta Kongres untuk meluluskan dana tambahan sebanyak AS$14 bilion (RM66 bilion) iaitu sebahagian daripada permintaan pembiayaan tambahan yang tertangguh di Kongres, ketika Republikan dan Demokrat merundingkan perubahan dasar imigresen.

Sementara itu, sekumpulan senator Demokrat secara berasingan, semalam, berkata bahawa 18 Demokrat dalam Dewan itu turut menyokong pindaan undang-undang berkaitan pembiayaan.

Melalui pindaan itu, mana-mana negara yang menerima pembiayaan tambahan perlu menggunakan wang itu mengikut undang-undang AS, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang konflik bersenjata.

Sebelum ini, Senator Bernie Sanders, pemimpin bebas yang menyokong Demokrat, memaksa mengundi pada resolusi yang akan membekukan bantuan keselamatan kepada Israel.

Resolusi itu diperlukan kecuali Jabatan Negara boleh mengeluarkan laporan dalam tempoh 30 hari bagi memastikan sama ada Israel melakukan pelanggaran hak asasi manusia dalam kempennya menentang Palestin.

Seramai 72 senator mengundi untuk mengetepikan resolusi itu, berbanding 11 yang menyokongnya, ia sekali gus bermaksud gagal mencapai majoriti mudah yang diperlukan.

Israel melancarkan perang untuk menghapuskan pejuang Palestin, Hamas, selepas kumpulan itu melakukan serangan terhadap rejim terbabit pada 7 Oktober lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza sebelum ini, peperangan yang memasuki bulan keempat kini, sudah mengorbankan lebih daripada 24,760 orang di enklaf Palestin. - REUTERS

Berita Harian X