Khamis, 18 Januari 2024 | 8:27am
Kanak-kanak Palestin, Noor Marouf, yang kakinya terpaksa dipotong akibat kecederaan ketika serangan tentera Israel, berehat di katil hospital Eropah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kanak-kanak Palestin, Noor Marouf, yang kakinya terpaksa dipotong akibat kecederaan ketika serangan tentera Israel, berehat di katil hospital Eropah di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Pesakit di hospital Gaza kini hanya menunggu ajal - WHO

NEW YORK: Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata keadaan hospital yang masih bertahan di Semenanjung Gaza kini merosot dengan pantas dan pesakitnya hanya mampu menunggu ajal.

Penyelaras pasukan perubatan kecemasan WHO, Sean Casey, berkata kekurangan kakitangan dan bekalan sudah mencapai tahap kritikal, menyebabkan pesakit tidak dapat menerima rawatan.

Menurutnya, dalam tempoh kira-kira lima minggu beliau menghabiskan masa di wilayah Palestin yang dilanda perang, beliau melihat pesakit mengalami luka melecur teruk setiap hari, selain ramai mengalami patah tulang degan luka terdedah yang terpaksa menunggu beberapa jam atau hari untuk rawatan asas.

"Malah, mereka sering meminta makanan atau air daripada saya tetapi bekalan tidak ada, cukup bagi menggambarkan betapa terdesaknya mereka,"katanya kepada pemberita di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Dengan masa yang ada, beliau dapat melawat enam daripada 16 hospital yang berfungsi di Gaza, daripada 36 hospital yang wujud sebelum perang meletus.

"Apa yang saya lihat secara peribadi ialah kemerosotan pesat sistem kesihatan, di samping keperluan bantuan kemanusiaan yang semakin meningkat dan tahap akses kemanusiaan yang semakin berkurangan terutama di utara Gaza," katanya.

Beliau turut menggambarkan keadaan pesakit di utara ibarat 'hanya menunggu mati di hospital yang tidak mempunyai bahan api, elektrik mahupun air'.

"Kami cuba setiap hari selama tujuh hari untuk menghantar bahan api dan bekalan perubatan ke utara Bandar Gaza.

Penduduk Palestin meratapi kehilangan orang tersayang akibat pengeboman Israel, di perkarangan hospital Al-Najjar yang kini menjadi tempat sementara bagi menyimpan jenazah. - Foto AFP
Penduduk Palestin meratapi kehilangan orang tersayang akibat pengeboman Israel, di perkarangan hospital Al-Najjar yang kini menjadi tempat sementara bagi menyimpan jenazah. - Foto AFP

"Namun, setiap hari permintaan untuk pergerakan yang diselaraskan itu ditolak pihak berkuasa Israel," katanya.

Menurut Casey, ketika operasi, hospital yang dilawatinya itu dibanjiri pesakit dengan kakitangan terhad, sebahagian besar pesakit adalah penduduk Gaza yang dipindahkan dari rumah mereka.

"Pengarah hospital memberitahu saya bagaimana pakar bedah, pakar bedah plastik, tidak dapat melakukan pembedahan kerana terpaksa keluar mengumpul kayu api bagi memasak untuk keluarga," katanya.

Pertempuran melanda Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel, mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Penduduk Palestin yang cedera dalam serangan Israel terbaring di lantai hospital Shuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin yang cedera dalam serangan Israel terbaring di lantai hospital Shuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Sekurang-kurangnya 24,448 rakyat Palestin dengan kira-kira 70 peratus daripadanya wanita, kanak-kanak dan remaja terbunuh dalam pengeboman serta serangan darat Israel, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza.

Ketika serangan 7 Oktober lalu, Hamas dan pejuang lain mengambil kira-kira 250 tebusan dan sekitar 132 kekal di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya 27 dipercayai terbunuh.

Menyuarakan gesaan sama seperti Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, Casey berkata keperluan paling kritikal di Gaza yang benar-benar diperlukan adalah gencatan senjata.

"Sebarang usaha lain tidak bermakna bagi mengurangkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk Palestin setiap hari," katanya.

 Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak. - Foto NSTP/L Manimaran
Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak. - Foto NSTP/L Manimaran

Sementara itu di selatan, Casey berkata beliau melawat kompleks perubatan Nasser, di mana mereka hanya mempunyai 30 peratus kakitangan yang bertahan dan kira-kira 200 peratus kapasiti katil dengan pesakit terpaksa dirawat di mana-mana termasuk koridor atau di lantai.

"Saya pergi ke unit melecur di mana terdapat seorang doktor menjaga 100 pesakit.

"Bencana kemanusiaan yang berlaku setiap hari kini semakin buruk," katanya sambil menegaskan keruntuhan sistem kesihatan bertambah serius hari demi hari. - AFP

Berita Harian X