Rabu, 17 Januari 2024 | 3:31pm
Papan tanda Google tertera di luar ibu pejabatnya di Mountain View, California, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Papan tanda Google tertera di luar ibu pejabatnya di Mountain View, California, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Google rombak pasukan pengiklanan, hentikan ratusan pekerja

SAN FRANCISCO: Google semalam mengesahkan pihaknya menghentikan 'beberapa ratus' pekerja daripada pasukan iklan globalnya.

Keputusan itu dibuat ketika syarikat itu diasak desakan untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan kreativiti.

Pemberhentian kerja 'kumpulan sokongan pelanggan' yang besar pada pasukan jualan itu bertujuan menghasilkan sokongan lebih baik untuk pengiklanan perniagaan kecil dan sederhana di platform Google, menurut gergasi internet itu.

Pengembangan pasukan iklan perniagaan kecil di Google, mengikut unjuran syarikat itu, akan menghasilkan peningkatan pengambilan pekerja tahun ini.

Bagaimanapun, Google tidak menyebut mengenai AI generatif, yang mengganggu banyak sektor termasuk pengiklanan.

Minggu lalu, unit pengkomputeran awan Google mengumumkan peralatan AI baharu untuk membantu peruncit 'menjadikan pengalaman beli-belah dalam talian lebih peribadi, memodenkan operasi dan mengubah pelancaran teknologi dalam kedai'.

Google memetik penyelidikan yang menunjukkan kira-kira 80 peratus peruncit Amerika Syarikat (AS) berpandangan adalah penting untuk menggunakan AI generatif dalam operasi mereka.

"Dalam tempoh setahun sahaja, AI generatif berubah daripada konsep yang hampir tidak dikenali kepada salah satu keupayaan paling pantas bergerak dalam semua teknologi dan bahagian penting dalam banyak agenda peruncit," kata Naib Presiden Industri Strategik Google Cloud, Carrie Tharp, dalam satu kenyataan.

Alat Google AI baharu termasuk membolehkan peruncit memasukkan ejen maya dengan mudah dalam laman sesawang atau aplikasi mudah alih untuk memberikan bantuan dan cadangan secara peribadi kepada pembeli, menurut syarikat itu.

Google memberhentikan kira-kira 12,000 orang setahun lalu, atau kira-kira enam peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, dalam menghadapi inflasi dan kenaikan kadar faedah.

Sejak itu, syarikat Lembah Silikon itu banyak melabur banyak dalam AI generatif. - AFP

Berita Harian X