Jumaat, 12 Januari 2024 | 9:30am
Kapal kargo Galaxy Leader yang diiringi bot pemberontak Houthi di Laut Merah. - Foto REUTERS
Kapal kargo Galaxy Leader yang diiringi bot pemberontak Houthi di Laut Merah. - Foto REUTERS

AS, UK lancar serangan udara terhadap pemberontak Houthi di Yaman

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyerang puak Houthi selepas pemberontak disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Laporan media AS itu turut disokong kenyataan saksi yang menyaksikan serangan udara terbabit di beberapa bandar sekitar Yaman.

Beberapa media AS melaporkan, serangan itu membabitkan jet pejuang dan peluru berpandu Tomahawk, namun pihak berkuasa AS sendiri tidak mengesahkannya apabila dihubungi AFP.

Serangan udara itu menyasarkan beberapa bandar sekitar Yaman, di mana puak Houthi mengawal sebahagian besar wilayah, menurut sumber Houthi dan saksi.

Houthi meningkatkan serangan dilaluan laut antarabangsa utama kapal dagang sejak perang Israel Hamas bermula 7 Oktober lalu tetapi mendakwa hanya menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel atau sekutunya.

Keadaan itu bertukar menjadi perang proksi antara Houthi yang menyokong Palestin dan AS serta Britain yang bersekutu dengan Israel, sekali gus meningkatan ketegangan di Asia Barat.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, mempengerusikan mesyuarat Kabinet di London semalam bagi membincangkan mengenai serangan terhadap pemberontak Houthi, lapor media di United kingdom (UK).

rekrut baharu pemberontak Houthi meraikan penamatan latihan mereka di Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS
rekrut baharu pemberontak Houthi meraikan penamatan latihan mereka di Sanaa, Yaman. - Foto REUTERS

Sementara itu, pemberontak Houthi mendakwa mereka hanya membalas tindakan Israel menyerang Semenanjung Gaza, dengan turut melancarkan siri serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Washington menyelaras satu gabungan set antarabangsa pada Disember, dikenali sebagai "Operasi Penjaga Kemakmuran' bagi menjaga keamanan laluan trafik maritim di perairan digunakan 12 peratus daripada dagangan dunia.

Sejumlah 12 negara menyertai gabungan diterajui AS itu dan memberi amaran kepada Houthi supaya menghentikan serta merta serangan terhadap kapal dagang atau menghadapi akibatnya.

Namun, Selasa lalu, Houthi melancarkan apa yang disebut London sebagai serangan terhebat mereka, memaksa AS dan Britain menembak jatuh 18 dron dan tiga peluru berpandu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menggesa semua serangan di Laut Merah dihentikan serta merta, dengan amaran ia semakin mengancam kestabilan dan keselamatan serantau.

Ujian terakhir bagi pakatan Barat itu berlaku pada Khamis apabila pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu balistik anti kapal di laluan dagang di Teluk Aden.

Ia adalah serangan ke-27 di laluan perairan antarabangsa Laut Merah sejak 19 November lalu, menurut tentera AS.

Peningkatan serangan itu menyebabkan trafik perdagangan di Laut Merah berkurangan 40 peratus selepas kebanyakannya dilencongkan ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan, sekali gus menggugat ekonomi global. - AFP

Berita Harian X