Jumaat, 5 Januari 2024 | 9:06am
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah), melawat kilang membuat kenderaan tentera di lokasi rahsia di negara itu, difahamkan untuk dibekalkan kepada Russia. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah), melawat kilang membuat kenderaan tentera di lokasi rahsia di negara itu, difahamkan untuk dibekalkan kepada Russia. - Foto AFP

Russia guna peluru berpandu Korea Utara serang Ukraine - AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa Korea Utara membekalkan Russia dengan peluru berpandu balistik dan pelancar peluru berpandu yang digunakan dalam serangan ke atas Ukraine baru-baru ini.

Jurucakap Rumah Putih berkata Russia juga sedang cuba mendapatkan peluru berpandu daripada sekutunya, Iran, berikutan kehabisan senjata dalam pencerobohan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine selama hampir dua tahun.

Peluru berpandu yang dibekalkan Pyongyang dengan jarak kira-kira 900 kilometer (km) dilancarkan Russia melalui dua serangan ke atas Ukraine dalam tempoh seminggu lalu, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.

"Maklumat kami menunjukkan Republik Rakyat Demokratik Korea baru-baru ini membekalkan Russia dengan pelancar peluru berpandu balistik dan beberapa peluru berpandu balistik," kata Kirby kepada pemberita dalam taklimat di Rumah Putih.

Kirby berkata, perkembangan itu menggariskan keperluan bagi Kongres AS untuk meluluskan pakej bantuan ketenteraan penting kepada Ukraine, yang jika tidak dilakukan, saluran sokongan akan semakin hilang.

Katanya, tentera Russia melancarkan sekurang-kurangnya satu daripada peluru berpandu yang dibekalkan Korea Utara pada 30 Disember lalu, yang jatuh di padang terbuka di wilayah Zaporizhzhia.

Tentera Moscow kemudian melepaskan 'pelbagai' peluru berpandu balistik ke Ukraine sebagai sebahagian daripada serangan udara besar-besaran pada 2 Januari.

Britain berkata, ia 'mengutuk sekeras-kerasnya' penggunaan peluru berpandu Korea Utara oleh Russia.

"Russia beralih kepada Korea Utara untuk mendapatkan senjata dalam mengejar matlamat ketenteraan yang sia-sia dan tidak difikirkan di Ukraine.

"Ini adalah gejala pengasingan di pentas dunia dan tanda terdesak negara itu," menurut kenyataan Pejabat Luar.

Kirby berkata, Russia juga bercadang untuk membeli peluru berpandu daripada Iran dan perbincangan sedang dijalankan mengenai pembelian peluru berpandu balistik jarak dekat walaupun belum ada persetujuan dicapai.

Sementara itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menggesa peningkatan pengeluaran pelbagai kenderaan pelancar peluru berpandu, menyifatkannya sebagai tugas penting untuk bersiap sedia menghadapi 'pertempuran tentera' dengan musuh, lapor media kerajaan pada Jumaat.

KCNA melaporkan, ketika melawat kilang pembuatan pelancar pengangkut (TEL), Jong-un berkata, penghasilan pelbagai kenderaan untuk senjata taktikal dan strategik adalah tugas utama dalam memperkukuh penghalang perang nuklear negara.

Laporan KCNA itu diterbitkan beberapa jam selepas Rumah Putih mendakwa Korea Utara membekalkan senjata dan kelengkapan tentera kepada Russia untuk perang dengan Ukraine. - AGENSI

Berita Harian X