Rabu, 3 Januari 2024 | 10:47am
Diego Tay, seorang daripada dua orang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan pengarah NGO Perancis, Benoit Maria, tiga tahun lalu, diiringi di mahkamah di Quetzaltenango, Guatemala, semalam. -AFP
Diego Tay, seorang daripada dua orang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan pengarah NGO Perancis, Benoit Maria, tiga tahun lalu, diiringi di mahkamah di Quetzaltenango, Guatemala, semalam. -AFP

Warga Guatemala kena penjara 12 tahun kerana terbabit pembunuhan pengarah NGO Perancis

QUETZALTENANGO, GUATEMALA: Mahkamah Guatemala, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada seorang lelaki tempatan selepas terbabit dalam pembunuhan pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perancis tiga tahun lalu, menurut peguam kepada keluarga mangsa.

Peguam berkenaan, Edgar Perez berkata, Diego Tay didapati bersalah oleh mahkamah di Quetzaltenango kerana terbabit dengan insiden yang mengakibatkan kematian warga Perancis, Benoit Maria.

Maria yang juga Pengarah NGO pertanian dan kesihatan haiwan Agronomes et Veterinaires Sans Frontieres (AVSF) di Guatemala, ditembak di kawasan penempatan Orang Asli di timur laut Guatemala pada Ogos 2020.

NGO berkenaan sebelum ini memaklumkan, Maria, 52, terbunuh dalam satu serangan hendap.

Beliau tinggal di Guatemala lebih 20 tahun, menyokong projek pertanian untuk komuniti Orang Asli Maya Ixil.

Tay, seorang ahli majlis perbandaran Orang Asli di sana, juga didapati bersalah memiliki senjata secara haram, yang mana dia turut dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, tambahan hukuman dari kes pembunuhan itu.

Seorang lagi peguam, Clemence Witt sebelum ini turut memberitahu motif rompakan diketepikan, selepas didapati barangan peribadi milik Maria semuanya ditemui di dalam keretanya.

Pada 2021, apabila Tay ditangkap, pendakwa raya berkata Maria mungkin dibunuh kerana enggan membayar rasuah untuk menggunakan jalan bagi melalui penempatan komuniti itu.

Menurut Witt, waran tangkap antarabangsa boleh dikeluarkan kepada individu lain yang disyaki terbabit dalam jenayah itu, sekali gus membolehkan pendakwaan baru dibuat.

Ketika insiden pembunuhan itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memuji Maria atas komitmen kemanusiaannya serta menyifatkan pembunuh itu sebagai pengecut. -AFP

Berita Harian X