Rabu, 27 Disember 2023 | 3:06pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Lebih 42,000 kematian akibat keganasan senjata api di AS pada 2023

WASHINGTON: Lebih 42,000 orang maut akibat keganasan senjata api di Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun ini, lapor Sputnik.

Menurut data yang diterbitkan oleh Arkib Keganasan Senjata (GVA) semalam, kebanyakan kematian iaitu 23,760 orang, maut akibat bunuh diri.

Sebanyak 18,507 lagi mati akibat tembakan, pembunuhan dan mempertahankan diri.

Angka itu termasuk 650 kes tembakan besar-besaran; 40 pembunuhan besar-besaran; 1,161 kes menggunakan senjata api untuk pertahanan diri dan 1,543 kes membabitkan tembakan tidak disengajakan.

Tidak terkecuali, lebih 1,600 kanak-kanak berumur dalam lingkungan sifar hingga 17 tahun terbunuh dalam kes keganasan senjata api, manakala 4,444 yang lain cedera.

Sebanyak 46 pegawai penguatkuasa undang-undang terbunuh dalam kes keganasan senjata api dan 1,412 suspek terbunuh dalam kes membabitkan pegawai penguatkuasa.

Penerbitan data itu bersandarkan maklumat diperoleh dari kes keganasan senjata api yang menggunakan sumber penguatkuasa undang-undang, media, kerajaan dan komersial. - BERNAMA/AGENSI

Berita Harian X