Rabu, 13 Disember 2023 | 8:35am
Negara yang mengundi resolusi tuntut gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.
Negara yang mengundi resolusi tuntut gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

Perhimpunan Agung PBB lulus draf resolusi tuntut gencatan senjata kemanusiaan di Gaza

WASHINGTON: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kepada Israel mengenai kehilangan sokongan antarabangsa susulan pengeboman 'semberono' terhadap orang awam.

Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir dengan 153 undi menyokong pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.

Negara yang mengundi resolusi tuntut gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.
Negara yang mengundi resolusi tuntut gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

Sepuluh negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu, manakala 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.

Di samping menuntut gencatan senjata, resolusi itu menyuarakan kebimbangan terhadap 'situasi kemanusiaan' di Semenanjung Gaza dan penderitaan orang awam di Palestin.

Resolusi terbabit turut menekankan bahawa penduduk awam Palestin dan Israel 'mesti dilindungi' berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menuntut semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka terutama mengenai perlindungan orang awam.

Draf resolusi berkenaan juga menuntut 'pembebasan segera dan tanpa syarat' semua tebusan serta memastikan akses kemanusiaan.

Pada Oktober, Perhimpunan Agung mengundi menyokong draf resolusi yang menyeru 'gencatan senjata kemanusiaan segera dan berterusan yang membawa kepada menghentikan permusuhan' dengan 121 negara menyokong, manakala 14 negara menentang termasuk AS dan 44 berkecuali.

Pihak Berkuasa Palestin turut mengalu-alukan resolusi itu dan menggesa negara-negara untuk menekan Israel supaya menerima gencatan senjata.

Sebelum resolusi itu diluluskan, Biden mengesahkan Israel kini mendapat sokongan daripada 'sebahagian besar dunia' termasuk AS dan Kesatuan Eropah.

"Tetapi mereka mula kehilangan sokongan itu dengan pengeboman semberono yang berlaku," katanya dalam satu acara derma di Washington.

Kementerian Kesihatan Gaza, berkata serangan Israel ke atas Gaza untuk menumpaskan Hamas sudah membunuh sekurang-kurangnya 18,205 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 50,000 lagi sejak 7 Oktober lalu.

Sementara itu, pegawai kanan kumpulan Islam Palestin, Izzat El-Reshiq, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Hamas turut mengalu-alukan tuntutan PBB bagi gencatan senjata segera kemanusiaan di Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel supaya mematuhi resolusi itu.

"Israel harus menghentikan pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin," katanya. - REUTERS

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa. - Foto REUTERS
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa. - Foto REUTERS

Berita Harian X