Sabtu, 9 Disember 2023 | 7:48am

AS memveto resolusi UNSC seru gencatan senjata di Gaza

New York: Amerika Syarikat (AS) menolak cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Cadangan draf resolusi ringkas dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) disokong 13 ahli lain, hanya Britain berkecuali, dengan Washington diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya.

Ini memandangkan sebelum ini, AS dan Israel menentang gencatan senjata kerana mereka percaya ia hanya akan menguntungkan Hamas, sebaliknya menyokong gencatan senjata sementara dalam pertempuran untuk melindungi orang awam dan membenarkan pembebasan tebusan.

Undian itu dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres membuat langkah yang jarang berlaku untuk memberi amaran secara rasmi kepada 15 anggota UNSC mengenai ancaman global daripada perang selama dua bulan itu.

Bagaimanapun Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood, berkata draf resolusi itu adalah teks tergesa-gesa dan tidak seimbang.

"Kami tidak menyokong gesaan resolusi ini untuk gencatan senjata yang tidak mampan yang hanya akan menanam 'benih' untuk perang seterusnya," katanya.

AS menawarkan pindaan besar kepada draf itu, termasuk mengutuk serangan Hamas yang mana Israel mendakwa ia membunuh 1,200 orang dan 240 orang dijadikan tebusan.

Sementara itu, Duta Besar Britain untuk PBB, Barbara Woodward, berkata negaranya berkecuali kerana tiada kutukan terhadap Hamas.

"Israel perlu dapat menangani ancaman yang ditimbulkan oleh Hamas dan ia perlu berbuat demikian dengan cara yang mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa supaya serangan sedemikian tidak boleh dilakukan lagi," katanya.

Sebaliknya, Duta Israel PBB, Gilad Erdan tidak berucap di majlis itu selepas undian, tetapi dalam satu kenyataan berkata, gencatan senjata akan dapat dilakukan hanya dengan kembalinya semua tebusan dan kemusnahan Hamas.

AS dilihat mengutamakan diplomasinya sendiri berbanding tindakan UNSC untuk pembebasan lebih ramai tebusan dan menekan Israel untuk melindungi orang awam di Gaza.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengakui terdapat "jurang" antara niat Israel untuk melindungi orang awam dan apa yang berlaku di lapangan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata lebih 17,480 orang terbunuh dan sebilangan besar 2.3 juta penduduk Palestin dihalau dari rumah mereka.

"Tiada perlindungan yang berkesan terhadap rakyat Gaza yang disuruh berpindah tanpa sebarang asas untuk terus hidup di mana tiada tempat yang selamat di Gaza," kata Guterres. - REUTERS

Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood (kanan) dan Duta Besar Britain ke PBB Barbara Woodward (kiri) menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai resolusi menggesa gencatan senjata di Gaza di ibu pejabat PBB di New York pada 8 Disember 2023. - Foto AFP
Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood (kanan) dan Duta Besar Britain ke PBB Barbara Woodward (kiri) menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai resolusi menggesa gencatan senjata di Gaza di ibu pejabat PBB di New York pada 8 Disember 2023. - Foto AFP
Berita Harian X