Khamis, 7 Disember 2023 | 3:46pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Suspek tembak ibu bapa, bunuh 4 lagi mangsa di Houston

HOUSTON: Seorang lelaki Texas ditahan kerana disyaki membunuh enam orang termasuk ibu bapanya sendiri, menggunakan senjata api dalam siri kes tembakan merentasi beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS)

Tragedi tembakan dikaitkan dengan suspek bermula pada Selasa di Austin, dengan empat maut, diikuti adegan tembak-menembak dengan polis selain penemuan mayat sepasang warga emas di sebuah rumah, di kawasan San Antonio.

"Kami amat percaya seorang suspek bertanggungjawab atas semua pembunuhan ini," kata pemangku ketua Jabatan Polis Austin, Robin Henderson, mengenai kes itu.

Katanya, suspek berusia 34 tahun, yang tidak dikenal pasti itu berada dalam tahanan dan tidak lagi menimbulkan ancaman kepada komuniti Austin.

Sekurang-kurangnya empat kes dikaitkan dengan suspek, termasuk dua pembunuhan berganda, kecederaan pegawai polis berhampiran sekolah, dan tembakan tidak mengakibatkan maut ke atas penunggang basikal.

Salah satu pembunuhan berganda berlaku di San Antonio, 122 kilometer (km) ke barat daya Austin.

Polis di sana berkata, mereka sudah menerima amaran daripada pihak berkuasa Austin untuk menggeledah rumah yang dikaitkan dengan lelaki bersenjata itu dan menemui mayat seorang wanita berusia 55 tahun dan seorang lelaki berusia 56 tahun.

"Kami tidak dapat melakukan pengenalan yang nyata buat masa ini, tetapi kami agak pasti siapa mereka ini... dipercayai ibu bapa suspek yang kini dalam tahanan.

"Sudah tentu ia adalah tempat kejadian jenayah yang sangat mengerikan," kata Sheriff Javier Salazar dari Bexar County,.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai pertama kali melakukan pembunuhan di Bexar County dan memandu ke Austin sebelum melakukan jenayah seterusnya.

Di Austin, polis terpaksa berbalas tembakan dengan suspek di sebuah tapak rumah di mana dua mangsa ditemui mati. Seorang pegawai turut cedera dalam kejadian itu.

Lelaki bersenjata itu melarikan diri menaiki kenderaan dan terbabas selepas keretanya dikejar polis.

Kata Henderson, lelaki yang ditangkap itu memiliki senjata api dan akan didakwa dengan pembunuhan besar-besaran, malah beliau menyifatkan kes itu sebagai satu siri 'peristiwa tragik dan perbuatan jenayah yang mengerikan'.

Salazar berkata, suspek sebelum ini sudah ditahan pada Januari 2022 kerana keganasan rumah tangga terhadap ibu bapa dan seorang adik perempuannya.

Dia dibebaskan dua bulan kemudian dan diperintahkan memakai alat pengawasan di buku lali, tetapi ia dipotong suspek. - AFP

Berita Harian X