Khamis, 7 Disember 2023 | 11:02am
Anggota polis membantu orang ramai mengosongkan lokasi kes tembakan di Universiti Nevada di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Anggota polis membantu orang ramai mengosongkan lokasi kes tembakan di Universiti Nevada di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Kes tembakan di Universiti Nevada, 3 maut seorang cedera

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya tiga mangsa terbunuh manakala seorang lagi cedera parah ditembak seorang lelaki bersenjata yang kemudiannya ditembak mati oleh polis di sebuah universiti Amerika Syarikat (AS), semalam.

Tragedi di Universiti Nevada, Las Vegas itu berlaku tidak jauh dari hub perjudian, Strip, yang dipenuhi pelancong dan menjadi lokasi kes keganasan senjata api terbaharu di AS.

"Tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia," kata Sheriff Las Vegas, Kevin McMahill pada sidang akhbar.

Beliau berkata mangsa keempat kini cedera parah akibat tembakan itu tetapi keadaan beliau mulai stabil.

Presiden AS, Joe Biden dalam satu kenyataan, mengecam 'jenayah keganasan senjata api yang mengerikan' di sebuah kampus kolej itu.

McMahill, pada sidang akhbar sama, berkata polis bertindak balas 'dalam beberapa minit' susulan laporan penembak diaktifkan pada 11.45 pagi (waktu tempatan).

Kejadian itu difahamkan bermula ketika perhimpunan luar pelajar sedang berlangsung.

"Pelajar sedang beriadah dan menikmati makanan, terdapat meja disediakan untuk mereka membina Lego.

"Jika bukan kerana keberanian salah seorang pegawai polis yang bertindak balas, mungkin ada banyak lagi nyawa terkorban," kata McMahill.

Ketua polis universiti, Adam Garcia, berkata dua pegawai yang 'terbabit dalam tembak-menembak dengan suspek serta suspek ditewaskan dan meninggal dunia'.

Polis bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai identiti mangsa atau lelaki bersenjata itu dan kini sedang dalam proses untuk memaklumkan waris.

Sebelum ini, laporan menyatakan, polis mengesahkan 'ramai mangsa' dalam kes tembakan di sebuah universiti AS semalam, dengan suspek sudah disahkan maut.

Pelajar dan orang awam diarahkan untuk menjauhi kawasan itu selepas laporan penembak aktif di kampus Universiti Nevada, Las Vegas, tidak jauh dari Las Vegas Strip.

Kira-kira setengah jam kemudian, jabatan itu mengesahkan suspek sudah dikesan dan disahkan meninggal dunia.

Seorang wanita memberitahu penyiar tempatan, KVVU, dia mendengar beberapa siri bunyi yang kuat sebelum melarikan diri ke sebuah bangunan di kampus, dan kemudiannya diselamatkan oleh polis.

"Saya baru sahaja bersarapan dan kemudian saya mendengar tiga bunyi letupan yang kuat dan Kemudian dua lagi.

"Polis muncul di lokasi sebelum berlari ke dalam... tetapi dua minit selepas itu kedengaran lebih banyak tembakan. Saya lari ke ruang bawah tanah dan berada di situ selama 20 minit," katanya.

Setakat ini, tidak diketahui berapa ramai orang yang menjadi mangsa atau meninggal dunia, namun CNN melaporkan seorang lelaki sudah dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Las Vegas adalah menjadi lokasi salah satu kes tembakan besar-besaran yang paling berdarah di AS apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di festival muzik pada 2017, membunuh 60 orang.

Tembakan sedemikian adalah perkara biasa tetapi makin membimbangkan di AS, yang juga negara pemilikan paling banyak senjata berbanding penduduknya dan percubaan untuk mengekangnya sentiasa mendapat tentangan sengit.

Menurut Arkib Keganasan Senjata, negara itu merekodkan lebih 600 kes tembakan besar-besaran tahun ini.

Menurut pengiraan Washington Post, sehingga Isnin lalu, negara itu mencatatkan rekod 38 kes tembakan besar-besaran tahun ini dengan empat atau lebih mangsa terbunuh.

Usaha untuk mengetatkan kawalan senjata yang dijalankan selama bertahun-tahun kerap mendapat tentangan daripada Republikan, pembela teguh hak Perlembagaan untuk menggunakan senjata. - AFP

Berita Harian X