Khamis, 7 Disember 2023 | 9:43am
Senator bebas, Bernie Sanders, turut menolak Rang undang-undang (RUU) dana perang yang akan menyediakan berbilion dolar untuk Israel dan Ukraine. - Foto REUTERS
Senator bebas, Bernie Sanders, turut menolak Rang undang-undang (RUU) dana perang yang akan menyediakan berbilion dolar untuk Israel dan Ukraine. - Foto REUTERS

Senator AS tolak RUU dana perang bagi Israel, Ukraine

WASHINGTON: Rang undang-undang (RUU) dana perang yang akan menyediakan berbilion dolar untuk Israel dan Ukraine semalam disekat di Senat Amerika Syarikat (AS) oleh wakil Republikan.

Undian yang diperoleh adalah 49 menyokong kepada 51 menentang, bermakna dana AS$110.5 bilion (RM516.4 bilion) tidak memperoleh 60 undi yang diperlukan dalam kalangan 100 ahli Senat bagi membuka jalan untuk memulakan perbahasan.

Undian berdasarkan hasrat parti, dengan setiap ahli Senat Republikan tidak menyokong, termasuk Senator bebas, Bernie Sanders, yang biasanya mengundi dengan Demokrat.

Bagaimanapun, kali ini beliau menyatakan kebimbangan mengenai membiayai 'strategi ketenteraan tidak berperikemanusiaan' Israel terhadap Palestin.

Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer, seorang Demokrat, juga mengundi 'tidak' bagi pihaknya untuk memperkenalkan usul bagi menimbang semula langkah itu.

Selepas pengundian, Schumer berkata, ia adalah 'saat serius yang akan mempunyai kesan berpanjangan untuk abad ke-21', yang mempertaruhkan kemerosotan demokrasi di Barat.

Republikan berkata, perkara terpenting adalah untuk dasar imigresen yang lebih ketat dan kawalan sempadan selatan di negara sendiri iaitu sempadan AS dengan Mexico.

"Undi hari ini adalah apa yang diperlukan oleh pemimpin Demokrat untuk mengiktiraf bahawa Senat Republikan tegas dengan apa yang kami katakan.

"Kemudian mari kita mengundi dan akhirnya mula memenuhi keutamaan keselamatan negara sendiri, AS, termasuk di sini, di rumah," kata Pemimpin Republik Senat, Mitch McConnell, dalam ucapan awal, semalam.

Kongres Republikan dan Demokrat sudah berdebat selama berbulan-bulan bagaimana untuk menangani permintaan Presiden Demokrat, Joe Biden, untuk pembiayaan perang Ukraine dan Israel.

Berbilion dolar disalurkan kepada Ukraine yang sedang memerangi penceroboh Russia manakala Israel, yang juga kepentingan AS di Indo-Pasifik, menyerang balas Hamas selepas serangan 7 Oktober, selain bagi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Dua permintaan Rumah Putih supaya Kongres meluluskan RUU perbelanjaan itu gagal dilaksanakan dan pergolakan semakin keruh di Capitol Hill, dijangka berterusan hingga ke 2024.

Demokrat bagaimanapun berpandangan, bantuan untuk sekutu adalah penting untuk menyokong demokrasi global dan menangkis autokrasi.

"Jangan silap, undian hari ini akan diingati lama. Sejarah akan dinilai dengan keras... kita tidak boleh biarkan (Presiden Russia Vladimir) Putin menang," kata Biden dalam ucapan di Rumah Putih.

Sekumpulan Demokrat di Senat mengadakan sidang akhbar mengenai sekatan terhadap RUU itu bagi menghantar mesej kepada musuh dan sekutu AS bahawa ia tidak menyokong rakan antarabangsanya dengan membuta tuli.

"Ia (dana) sudah kering dan kami hanya mempunyai beberapa hari untuk membuat kemajuan yang jelas dan positif ke arah menyelesaikan butiran akhir yang diperlukan untuk menunjukkan AS adalah sekutu yang boleh dipercayai," kata Senator Chris Coons.

Republikan pula berpandangan, isu pendatang haram yang berlebihan merentasi sempadan selatan dengan Mexico adalah kebimbangan keselamatan yang sangat penting.

Justeru, mereka mahukan lebih tanggungjawab daripada apa yang mereka peroleh daripada pentadbiran Biden bagi dana pembayar cukai AS yang disalur ke luar negara.

Semalam, Schumer berkata, beliau akan cuba memecahkan kebuntuan dengan menawarkan peluang kepada Republikan untuk menambah pindaan pada dasar undang-undang sempadan, namun setakat semalam, tiada pindaan sedemikian diumumkan. - REUTERS

Berita Harian X