Selasa, 5 Disember 2023 | 8:39am
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS

Putin boleh menang jika Ukraine tidak dibantu - AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berkata Presiden Russia, Vladimir Putin, boleh memenangi perang dengan Ukraine sekiranya Kongres tidak meluluskan pembiayaan baru.

Rumah Putih mengeluarkan amaran tegas semalam bahawa bantuan AS untuk Ukraine akan habis menjelang akhir tahun ini, dengan makin ramai anggota Kongres mempertikaikan keperluan terus menyalurkan dana kepada Ukraine.

Pengarah belanjawan Presiden AS, Joe Biden, Shalanda Young, dalam sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson (Republikan), mendakwa bantuan ketenteraan kini 'kering' dan ia akan 'menggagalkan' perjuangan Kyiv menentang pencerobohan Russia.

Biden, wakil Demokrat, meminta Kongres pada Oktober lalu meluluskan pakej keselamatan negara yang besar yang bernilai AS$106 bilion (RM495.3 bilion) termasuk bantuan ketenteraan untuk Ukraine serta perang Israel menentang Hamas, tetapi ia tergendala ekoran perpecahan di Capitol Hill.

"Tiada periuk dana ajaib yang tersedia untuk memenuhi keperluan masa kini. Kami kehabisan wang – dan hampir kehabisan masa.

"Memutuskan aliran senjata dan peralatan AS akan menggagalkan Ukraine di medan perang, bukan sahaja menggugat risiko keuntungan yang diperoleh Ukraine, malah meningkatkan kemungkinan kemenangan tentera Russia," tulis Young.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, pula mencadangkan undian dilakukan bagi menentang bantuan untuk Ukraine.

"Kongres perlu memutuskan sama ada mahu terus menyokong perjuangan untuk kebebasan di Ukraine... atau sama ada Kongres akan mengabaikan apa yang sudah kita pelajari daripada sejarah dan membiarkan Putin menang.

"Ia semudah itu. Ia adalah pilihan yang jelas," kata Sullivan kepada pemberita di Rumah Putih.

Ukraine sebelum ini begitu mendesak lebih banyak bantuan Barat ketika tentera Russia meningkatkan serangan pada musim sejuk selepas serangan balas Kyiv gagal sepanjang musim panas.

Tetapi Kongres yang lumpuh selama berbulan-bulan disebabkan pergaduhan Republikan, dengan ahli parlimen berhaluan kanan, yang menentang sebarang bantuan lanjut untuk Kyiv ketika perang berlarutan ke tahun ketiga.

Dengan menjadikan alasan Putin dan Hamas, Biden berusaha mendapatkan AS$61 bilion (RM285 bilion) untuk Ukraine dengan AS$14 bilion (RM65.4 bilion) untuk Israel sejak Oktober lalu, termasuklah pembiayaan untuk sempadan.

Kata Young, AS sudah memperuntukkan AS$111 bilion (RM518 bilion untuk Ukraine sejak Russia menyerang pada Februari 2022, termasuk AS$67 bilion (RM313 bilion) untuk perolehan tentera.

Negara-negara Eropah juga menghadapi cabaran dalam mendapatkan pembiayaan untuk Ukraine apabila kerajaan baik penduduk negara berkenaan sudah mula merasakan sindrom 'kelesuan dengan perang'. - AFP

Berita Harian X