Sabtu, 2 Disember 2023 | 8:48pm
Beberapa orang gelandangan ditembak dalam kejadian berdekatan Charleston, Las Vegas. - Foto AGENSI
Beberapa orang gelandangan ditembak dalam kejadian berdekatan Charleston, Las Vegas. - Foto AGENSI

Lima gelandangan ditembak di Las Vegas - Polis

WASHINGTON: Seorang daripada lima orang yang ditembak di 'kem gelandangan' di Las Vegas meninggal dunia, dalam kejadian semalam, kata pihak berkuasa.

Polis bertindak balas terhadap tembakan di sebelah timur bandar itu yang dilaporkan kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan, kata Leftenan Jason Johansson ketika sidang media yang disiarkan oleh KSNV News 3, Las Vegas.

Menurut Johansson, sekurang-kurangnya seorang mangsa meninggal dunia di hospital.

Namun media kemudiannya melaporkan dua gelandangan terbunuh, manakala tiga lagi cedera.

"Saya harap saya boleh mengatakan ia sebenarnya adalah kejadian terpencil.

"Sekarang saya menganggapnya sebagai 'saya tidak tahu'," katanya.

Insiden tembakan itu berlaku kurang seminggu selepas tiga gelandangan terbunuh dalam kejadian berasingan tetapi serupa di Los Angeles.

Ketiga-tiga mangsa terbunuh ketika mereka sedang tidur bersendirian di luar dan polis Los Angeles berkata pihaknya sedang memburu seorang suspek.

Ditanya sama ada insiden Las Vegas boleh dikaitkan dengan kejadian tembakan di Los Angeles, Johansson mengatakan, ia agak berbeza.

"Ia agak berbeza, jadi saya tidak cenderung mengatakan kedua-duanya berkaitan.

"Tetapi jika siasatan menjurus kami ke arah itu, kami akan ke sana, tetapi kami tidak berada di sana sekarang," katanya.

Tembakan besar-besaran adalah perkara biasa yang membimbangkan di Amerika Syarikat (AS), berikutan terdapat lebih banyak senjata daripada bilangan orang, namun percubaan untuk mengekang penggunaannya sentiasa mendapat tentangan sengit.

AS merekodkan lebih 500 tembakan besar-besaran tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menakrifkan tembakan besar-besaran sebagai empat atau lebih orang cedera atau terbunuh. - AFP

Berita Harian X