Khamis, 30 November 2023 | 11:11am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

CEO TikTok, Meta, X beri keterangan di Senat AS

WASHINGTON: Ketua eksekutif syarikat media sosial Meta, X, TikTok, Snap dan Discord akan memberi keterangan berhubung eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian pada pendengaran Senat Amerika Syarikat (AS) 31 Januari depan.

Pengerusi bagi Jawatankuasa Kehakiman Senat, Senator Demokrat, Dick Durbin dan Senator Republikan, Lindsey Graham, berkata Discord dan X pada mulanya menolak untuk mengambil bahagian serta enggan menerima sapina.

"Kini, kelima-lima syarikat bekerjasama, kami berharap untuk mendengar daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ia akan menjadi penampilan pertama bagi CEO TikTok, Shou Zi Chew, di hadapan penggubal undang-undang AS sejak Mac lalu, di mana syarikat aplikasi video pendek milik China itu berdepan soalan tegas.

Antaranya termasuk aduan sesetengah pihak yang mendakwa kandungan aplikasi itu merosakkan kesihatan mental kanak-kanak.

Rang Undang-undang (RUU) yang masih tertangguh terhenti di Kongres itu akan memberi kuasa baharu kepada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menyekat penggunaan teknologi komunikasi asing seperti TikTok di AS, yang digunakan lebih 150 juta rakyat negara itu.

Durbin dan Graham berkata, sesi pendengaran itu akan membolehkan ahli jawatankuasa menekan CEO daripada beberapa syarikat media sosial terbesar mengenai kegagalan mereka melindungi kanak-kanak dalam talian.

CEO Meta, Mark Zuckerberg, yang memiliki Facebook dan Instagram; CEO X, Linda Yaccarino; CEO Snap, Evan Spiegel dan CEO Discord, Jason Citron akan memberi keterangan.

"Kegagalan Big Tech untuk mengawal diri sendiri, dengan mengorbankan anak-anak kita tidak boleh terus tidak berjawab," kata Durbin dan Graham.

Jawatankuasa terbabit, pada tahun ini meluluskan beberapa RUU termasuk yang menghapuskan imuniti firma teknologi daripada liabiliti sivil dan jenayah di bawah undang-undang penderaan seksual kanak-kanak, yang pertama kali dicadangkan pada 2020.

Turut dicadangkan, penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan bagi Pencegahan Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak Dalam Talian, selain untuk memodenkan

Satu lagi langkah adalah pemodenan penyiasatan dan pendakwaan jenayah eksploitasi kanak-kanak dalam talian. - REUTERS

Berita Harian X