Khamis, 30 November 2023 | 10:49am
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Kluster selesema di China di bawah kawalan

NEW YORK: Peningkatan kes penyakit berkaitan pernafasan di China adalah wabak bermusim biasa, yang turut dihadapi negara lain dan pihak berkuasa China sudah berjaya mengawalnya secara berkesan.

Menteri Luar China, Wang Yi, berkata demikian kepada pemberita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS), di mana beliau mempengerusikan sesi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung isu Israel-Palestin.

Minggu Lalu, Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) meminta China memberikan butiran terperinci mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan laporan kluster pneumonia dalam kalangan kanak-kanak di China.

Sehubungan itu, China melaporkan tiada patogen luar biasa atau baharu dikesan dalam peningkatan penyakit pernafasan kanak-kanak di utara negara itu.

Sejak pertengahan Oktober 2023, WHO memantau data daripada sistem pengawasan China yang menunjukkan terdapat peningkatan penyakit pernafasan pada kanak-kanak di wilayah berkenaan.

WHO sebelum ini berkata ia sudah membuat permintaan rasmi kepada Beijing untuk mendapatkan lebih banyak data, tetapi China masih enggan memberi maklum balas.

Tambah agensi itu, ia sudah menghubungi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China serta Hospital Kanak-Kanak Beijing, yang dipengerusikan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Pentadbiran Kebangsaan Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

"Pihak berkuasa China menyatakan tiada pengesanan sebarang patogen luar biasa atau baru atau hasil ujian klinikal yang luar biasa, termasuk di Beijing dan Liaoning.

"Sebaliknya, hanya terdapat peningkatan umum yang disebutkan dalam penyakit pernafasan akibat pelbagai patogen yang diketahui.

"Mereka seterusnya menyatakan bahawa peningkatan penyakit pernafasan tidak menyebabkan beban pesakit melebihi kapasiti hospital di China," katanya.

Namun, kata WHO, pihaknya akan teruskan pemantauan dengan teliti dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa China bagi mengemas kini perkembangan selanjutnya.

Ia juga mengesyorkan penduduk di China yang berisiko mengikuti langkah-langkah untuk mengurangkan risiko penyakit pernafasan, termasuk mengambil vaksin yang disyorkan terhadap selesema, COVID-19 dan patogen pernafasan lain.

Orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan penjarakkan sosial, jangan keluar rumah bila sakit, mendapatkan ujian dan rawatan perubatan seperti yang diperlukan serta memakai pelitup muka mengikut kesesuaian.

"Bagaimanapun, WHO tidak mengesyorkan sebarang langkah khusus atau amaran perjalanan untuk pelancong ke China," katanya.

Disember ini menandakan masuk tahun keempat sejak pandemik COVID-19 di Wuhan, China, pertama kali dilaporkan.

Sepanjang tempoh pandemik, WHO berulang kali mengkritik pihak berkuasa China kerana tidak telus dan bekerjasama dengan mereka.

Lebih tiga tahun selepas kes coronavirus pertama kali dikesan di Wuhan, perdebatan hangat masih berlaku di sekitar asal-usul COVID-19. - AGENSI

Berita Harian X