Selasa, 21 November 2023 | 9:11am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. - Foto REUTERS
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. - Foto REUTERS

Biden sambut hari lahir ke-81, pengundi sangsi keupayaannya memimpin

WASHINGTON : Joe Biden bergurau mengenai usianya ketika menyambut hari lahir ke-81 tahun pada Isnin, namun perkara itu tidak lucu bagi ramai pengundi yang berpendapat beliau terlalu tua untuk pemilihan semula tahun depan.

Biden yang mewakili Demokrat, kini adalah presiden tertua dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), dan jika memenangi penggal kedua tahun depan, beliau akan berusia 86 tahun pada akhir perkhidmatannya.

Beberapa tinjauan menunjukkan majoriti pengundi menganggap beliau terlalu tua untuk menjadi ketua komander dan sangsi terhadap keupayaannya untuk terus memimpin.

Beberapa kemalangan kecil tersandung, termasuk di tangga Air Force One, berulang kali menjadi viral dan kini mencetuskan persoalan sama ada beliau boleh meneruskan tanggungjawab sebagai Presiden AS.

Pengundi setakat ini tidak menyuarakan kebimbangan yang sama terhadap saingan Biden dalam pilihan raya presiden, Donald Trump, walaupun calon Republikan itu berusia 77 tahun dan pernah melakukan kesilapan yang sama.

Trump memberi amaran dalam ucapan pada September lalu, bahawa AS berada di ambang Perang Dunia Kedua, dan baru-baru ini tersilap menyatakan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, adalah pemimpin Turkiye.

"Ia bukan isu mengenai umur, sebaliknya mengenai pengalaman presiden," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, Isnin lalu.

Jean-Pierre memuji kebijaksanaan dan stamina Biden, serta mengingatkan wartawan megenai perjalanan sulit beliau ke Kyiv yang dilanda perang awal tahun ini.

Rumah Putih menolak hasil tinjauan pendapat, yang menyaksikan Demokrat mencatatkan beberapa siri kejayaan pilihan raya baru-baru ini, namun angka itu tetap memberikan ramalan suram untuk parti itu.

Tinjauan ABC dan Washington Post baru-baru ini menunjukkan mendapati, 74 peratus orang yang ditemubual berkata Biden terlalu tua untuk berkhidmat untuk penggal kedua, berbanding 50 peratus untuk Trump.

Biden dan Trump kedua-duanya disifatkan sebagai 'Super-Agers', istilah yang dicipta oleh penyelidik untuk menggambarkan sekumpulan kecil orang yang mengekalkan fakulti penuh fizikal dan mental mereka sehingga lewat hayat.

Republikan juga bersiap sedia dengan pelan alternatif bagi mengenengahkan Naib Presiden AS, Kamala Harris bagi menggantikan Biden bagi pemilihan presiden, sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.

Harris adalah wanita kulit hitam pertama dari keturunan Asia Selatan untuk memegang jawatan naib presiden, tetapi penilaian sokongan terhadapnya adalah seteruk ketuanya iaitu di bawah 40 peratus. - AFP

Berita Harian X