Rabu, 27 September 2023 | 11:48am
Kubah bangunan Capitol AS. - Foto REUTERS
Kubah bangunan Capitol AS. - Foto REUTERS

Senat AS tawar belanjawan jangka pendek elak kerajaan tidak berfungsi

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) semalam merangka usul belanjawan jangka pendek terakhir dalam keadaan Kongres berdepan kesuntukan masa bagi mengelakkan penutupan kerajaan.

Kedua-dua pemimpin majoriti Senat Demokratik, Chuck Schumer dan pemimpin minoriti Republikan, Mitch McConnell, mengesahkan draf itu, bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi sehingga 17 November, berbanding tarikh akhir sepatutnya pada 30 September ini.

Namun tiada petunjuk bahawa pihak yang 'berperang' dalam pertembungan mengenai pembiayaan kerajaan di Dewan Republikan, akan menerima belanjawan itu jika ia diluluskan di Senat.

McConnell berkata, pertikaian belanjawan domestik yang membawa kepada penutupan fungsi kerajaan tidak akan mengukuhkan kedudukan politik mana-mana pihak.

"Ia hanya membekukan satu kemajuan penting sekali gus menyebabkan jutaan rakyat Amerika terjejas," katanya.

Jika perjanjian tidak berjaya dicapai menjelang Sabtu, ratusan ribu penjawat awam Persekutuan berisiko kehilangan kerja, sekali gus menyekat sebahagian besar perkhidmatan kerajaan.

Selain itu, penerima kebajikan juga mungkin tidak mendapat bayaran bantuan, dan memperlahankan operasi lapangan terbang yang menjejaskan perjalanan jutaan penumpang.

Namun sesetengah penjawat awam di sektor kritikal seperti tentera akan terus berkhidmat seperti biasa tanpa gaji, sehinggalah belanjawan akhirnya diluluskan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) mewakili Demokrat, Joe Biden, meletakkan kesalahan kepada sekumpulan kecil ahli Parlimen dari Republikan yang disifatkan melampau di Dewan Senat.

Biden berkata, sedangkan sebelum ini pihaknya sudah mencapai kesepakatan mengenai belanjawan dengan McConnell.

"Sekumpulan tegar Dewan bertekad untuk menutup kerajaan sedangkan wakil arus perdana Republikan enggan menentang puak pelampau dalam parti mereka.

"Maka sekarang semua orang di Amerika berisiko menerima kesannya," katanya.

Buat masa ini, Kongres terus bergerak ke arah krisis fiskal yang lain, dalam tempoh setahun yang menyaksikan kerajaan AS hampir berhenti membuat pembayaran hutang.

Minggu lalu, penggubal undang-undang meninggalkan Dewan Perwakilan dengan tiada resolusi dibuat, sekali gus meningkatkan kemungkinan pentadbiran pimpinan Biden menghampiri tempoh kurang seminggu lagi berdepan penutupan sejak 1977 apabila AS mengalihkan permulaan tahun fiskalnya pada 1 Oktober. - AFP

Berita Harian X