NEW YORK: Arab Saudi diberi peringatan tegas susulan tindakan negara itu mempertimbangkan usaha untuk mengiktiraf dan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam, pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas, 87, menegaskan keamanan di Asia Barat tidak akan dikecapi jika tiada penyelesaian dalam rundingan damai Israel-Palestin.
Beliau juga mengemukakan rayuan bagi rundingan baharu supaya Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menganjurkan persidangan antarabangsa untuk membina Palestin.
Katanya, persidangan PBB 'mungkin muncul sebagai peluang terakhir bagi penyelesaian antara Palestin dan Israel, selain mengelak keadaan bertambah serius sehingga mengancam keselamatan serta kestabilan rantau itu selain dunia.
Israel dan Amerika Syarikat (AS) percaya jalinan hubungan antara Israel dan Arab Saudi, yang juga penjaga dua kota paling suci bagi umat Islam, akan membawa perubahan besar di Asia Barat, namun dipertikaikan Abbas.
"Sesiapa yang beranggapan keamanan boleh dikecapi di Asia Barat tanpa rakyat Palestin menikmati haknya yang sah, mereka pastinya silap.
"Penduduknya yang bersikap perkauman dan pengganas menakut-nakutkan serta membunuh rakyat bagi memusnahkan rumah dan harta demi mencuri wang serta sumber milik kami," katanya.
Abbas berucap sehari selepas Netanyahu membincangkan perihal Israel menjalin hubungan dengan Arab Saudi, dalam pertemuan bersama Presiden AS, Joe Biden.
Seorang diplomat Israel meninggalkan dewan UNGA ketika Abbas menempelak regim Zionis itu kerana mengamalkan dasar berbaur 'apartheid', sekali gus menimbulkan kemarahan puak Yahudi itu.
Pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, semalam berkata proses berkenaan semakin 'hampir'.
Israel dan AS percaya jalinan hubungan zionis dan Arab Saudi itu akan mengubah percaturan di Asia Barat.
Sebelum ini, AS yang menjadi broker keamanan kedua-dua pihak, berputus asa terhadap rundingan serius bersama kerajaan diterajui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Ia sekali gus melonjakkan aktiviti penempatan haram oleh peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki, suatu amalan yang dikecam pada peringkat antarabangsa.
Selasa lalu, Arab Saudi menyertai perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU), Jordan dan Mesir, bagi menyuntik nafas baharu kepada pelan damai Israel-Palestin.
Bulan ini menandakan tiga dekad sudah berlalu sejak Israel dan Palestin menandatangani Perjanjian Oslo di Rumah Putih, bagi menyelaraskan hak pemerintahan sendiri di bawah Pihak Berkuasa Palestin tetapi ia tidak menjadi penyelesaian yang berkekalan. - AFP