Rabu, 20 September 2023 | 6:32pm
Tentera Taliban berkawal pada upacara ulang tahun kedua pengambilalihan Kabul oleh Taliban di Afghanistan. - Foto REUTERS
Tentera Taliban berkawal pada upacara ulang tahun kedua pengambilalihan Kabul oleh Taliban di Afghanistan. - Foto REUTERS

PBB rekod penyeksaan, kematian tahanan dalam tahanan Taliban

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan lebih 1,600 insiden pencabulan hak membabitkan penyeksaan dan layanan buruk terhadap individu yang ditahan oleh pihak berkuasa Taliban, menurut laporan yang dikeluarkan semalam.

Misi PBB ke Afghanistan (UNAMA) berkata, seramai 18 orang dilaporkan mati di penjara dan dalam tahanan polis serta risikan dalam tempoh 19 bulan berakhir Julai 2023 lalu.

Taliban mengawal polis dan agensi perisikan sejak mereka mengambil alih negara itu apabila tentera asing berundur pada 2021.

"Dalam percubaan untuk memberi pengakuan atau maklumat lain, tahanan mengalami kesakitan dan penderitaan yang teruk melalui pukulan fizikal, renjatan elektrik, sesak nafas, kedudukan tekanan dan pengambilan air secara paksa serta penutup mata dan ancaman," kata UNAMA dalam satu kenyataan.

Pelanggaran lain termasuk tidak dimaklumkan mengenai sebab penangkapan, tidak dapat mengakses peguam dan rawatan perubatan yang tidak mencukupi dalam tahanan.

Sekitar satu daripada 10 pelanggaran adalah terhadap wanita, manakala wartawan dan ahli masyarakat sivil menyumbang hampir satu perempat daripada mangsa pelanggaran itu.

Dalam maklum balas yang diterbitkan bersama laporan itu, Kementerian Luar Negeri Taliban berkata, jumlah pelanggaran yang dilaporkan adalah tidak tepat, terutamanya jumlah wartawan atau peguam bela masyarakat sivil yang terjejas.

Kementerian itu berkata, pihak berkuasa dan badan kehakiman sedang berusaha untuk meningkatkan pengawasan dan memastikan pematuhan terhadap dekri oleh pemimpin tertinggi yang melarang penyeksaan atau memaksa pengakuan.

PBB berkata, dekri itu dan membenarkan akses ke penjara adalah tanda positif, tetapi meminta lebih banyak tindakan untuk membetulkan keadaan.

"Kes-kes yang didokumenkan ini menyerlahkan keperluan untuk tindakan segera dan dipercepat oleh semua.

"Terdapat keperluan mendesak untuk mempertimbangkan lebih banyak pembabitan dengan pihak berkuasa de facto untuk menamatkan amalan ini," kata Wakil Khas Setiausaha Agung untuk Afghanistan dan Ketua UNAMA, Roza Otunbayeva. - REUTERS

Berita Harian X