Ahad, 27 Ogos 2023 | 8:01am
Anggota pasukan kecemasan berada di sekitar kedai Dollar General selepas seorang lelaki kulit putih menembak mati tiga individu kulit hitam semalam. - Foto REUTERS
Anggota pasukan kecemasan berada di sekitar kedai Dollar General selepas seorang lelaki kulit putih menembak mati tiga individu kulit hitam semalam. - Foto REUTERS

Lelaki tembak tiga individu akibat kebencian kaum

WASHINGTON: Seorang lelaki kulit putih yang didorong kebencian kaum menembak mati tiga individu kulit hitam sebelum menembak dirinya di Jacksonville, Florida semalam.

Penembak yang juga lelaki berusia 20-an itu dilengkapi jaket taktikal bersenjatakan senapang gaya AR, melepaskan tembakan di sebuah kedai Dollar General, kata Sheriff TK Waters.

"Dia menyasarkan kumpulan tertentu iaitu orang kulit hitam. Dia kata mahu membunuh dan itu sangat jelas," katanya sambil menambah terdapat dua mangsa lelaki dan seorang mangsa wanita.

Pada sidang akhbarnya, Waters berkata keluarga mangsa 'memperincikan ideologi kebencian yang menjijikkan penembak'.

FBI akan menyiasat kes tembakan itu sebagai jenayah kebencian, kata ejen khas biro Jacksonville, Sherri Onks.

Tembakan itu adalah yang terbaharu dalam siri keganasan senjata api hujung minggu ini di Amerika Syarikat, berikutan tembakan maut di Boston, Chicago dan Oklahoma.

Tembakan itu berlaku berhampiran Universiti Edward Waters iaitu sebuah kolej bersejarah bagi individu berkulit hitam di selatan AS.

Sementara itu, Gabenor Florida, Ron DeSantis mengecam tembakan 'mengerikan' itu dan menggelar lelaki bersenjata berkenaan sebagai "bangsat."

"Dia menyasarkan orang berdasarkan kaum mereka dan perkara itu sama sekali tidak boleh diterima," kata DeSantis.

"Lelaki ini membunuh dirinya daripada berdepan dengan hukuman dan menerima tanggungjawab atas tindakannya dan oleh itu dia mengambil jalan keluar seperti seorang pengecut," katanya.

Tembakan itu adalah yang terbaru dalam siri keganasan senjata api hujung minggu ini di AS.

Tembakan secara besar-besaran menjadi perkara biasa di seluruh AS kerana mempunyai akses mudah kepada senjata api di kebanyakan negeri dan memiliki lebih banyak senjata api berbanding rakyat negara itu.

Awal hari ini sekurang-kurangnya tujuh orang dimasukkan ke hospital selepas kejadian tembakan beramai-ramai di festival Caribbean di timur laut bandar Boston, kata polis.

Malam sebelumnya, dua wanita ditembak pada perlawanan besbol di Chicago dan pada malam sama seorang remaja berusia 16 tahun mati ditembak, manakala empat lagi cedera akibat pertengkaran yang tercetus pada perlawanan bola sepak sekolah menengah di Oklahoma, kata polis tempatan.

Insiden tembakan di Jacksonville berlaku selepas seorang yang mengisytiharkan diri sebagai ketua ketuanan kulit putih membunuh 10 orang kulit hitam dalam kejadian tembakan yang disiarkan secara langsung di sebuah pasar raya di New York AS pada Mei 2022.

Seorang individu iaitu Payton Gendron merancang serangan selama berbulan-bulan dengan menyasarkan sebuah pasar raya di Buffalo kerana populasi Afrika-Amerika yang besar di kawasan kejiranan sekitarnya.

Dia kemudiannya mengaku bersalah atas pembunuhan itu pada November.

Tembakan di Jacksonville semalam berlaku selepas lima tahun kejadian tembakan besar-besaran di bandar itu apabila seorang lelaki bersenjata di kejohanan permainan video membunuh dua orang dan mencederakan beberapa yang lain sebelum membunuh dirinya sendiri. - AFP

Berita Harian X