Sabtu, 29 Julai 2023 | 5:02pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Lautan Atlantik Utara catat rekod suhu tertinggi - Data awal NOAA

WASHINGTON: Lautan Atlantik Utara mencatat rekod suhu tertinggi, minggu ini, menurut data awal dikeluarkan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS), semalam.

Perkembangan itu menyusul selepas saintis mengesahkan Julai sebagai bulan paling panas dalam sejarah rekod, dengan cuaca panas terik yang diburukkan lagi dengan pemanasan global sehingga menjejaskan puluhan ribu penduduk dunia.

"Berdasarkan analisis kami, purata suhu tertinggi permukaan laut di Lautan Atlantik Utara adalah 24.9 darjah Celsius yang dikesan pada Rabu," kata saintis di Pusat Maklumat Alam Sekitar Kebangsaan NOAA, Xungang Yin, kepada AFP.

Lebih mengejutkan, rekod tertinggi itu dicatat beberapa minggu lebih awal berbanding lazimnya Atlantik Utara mencapai kemuncak suhu pada awal September.

Yin berkata, suhu tertinggi sebelum ini direkodkan pada September 2022 yang mencecah paras 24.89 darjah Celsius.

NOAA yang menjejaki suhu lautan sejak awal 1980-an, memerlukan masa kira-kira dua minggu untuk mengesahkan dapatan awal terbabit.

Isnin lalu, penyelidik Sepanyol memaklumkan suhu di Lautan Mediterranean juga mencatat rekod tertinggi mencecah 28.71 darjah Celsius, ketika gelombang haba luar biasa melanda Eropah.

Menjelaskan lanjut, Yin berkata, suhu permukaan laut di Atlantik Utara dijangka meningkat secara berterusan sepanjang Ogos ini, malah rekod baharu suhu itu berkemungkinan besar akan dipecahkan lagi.

"Rekod baharu suhu tertinggi 24.9 darjah Celsius itu adalah satu darjah Celsius lebih panas daripada klimatologi normal selama 30 tahun yang dikira dari 1982 hingga 2011," katanya.

Sejak Mac lalu, iaitu bulan di mana Atlantik Utara mulai panas selepas musim sejuk, suhunya secara umum lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, malah keadaan itu semakin ketara pada beberapa bulan kebelakangan ini.

Atlantik Utara menjadi titik pemerhatian untuk pemanasan laut seluruh dunia akibat kesan perubahan iklim yang antara lain disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau. - AFP

Berita Harian X