WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan pakej bantuan ketenteraan bernilai AS$345 juta kepada Taiwan, bertujuan meningkatkan keupayaan Taipei dengan segera untuk menghalang sebarang kemungkinan pencerobohan oleh China.
Pakej itu - seorang pegawai memaklumkan ia meliputi peralatan perisikan, pengawasan serta peninjauan dan amunisi senjata api kecil - akan diambil daripada rizab AS sendiri, sekali gus membolehkan ia dihantar pada garis masa lebih pantas berbanding proses biasa.
Jurucakap Pentagon berkata, ia akan membantu kemampuan Taiwan untuk mencegah ancaman kini dan pada masa depan.
"Elemen pakej itu menangani keperluan stok peralatan pertahanan yang kritikal, kesedaran pelbagai domain dan keupayaan pertahanan udara serta antiperisai.
"Kami sedang bekerja pantas untuk menghantar bantuan ketenteraan yang diumumkan, hari ini," katanya.
Kongres telah memberi kuasa kepada Presiden Joe Biden untuk mengeluarkan stok ketenteraan AS bagi membantu Taiwan, sebagaimana Washington menyediakan kuantiti bantuan yang besar kepada Ukraine sejak negara itu dicerobohi Russia pada Februari 2022.
Rumah Putih dalam satu kenyataan mengumumkan pakej 'peralatan dan perkhidmatan pertahanan daripada Jabatan Pertahanan, serta latihan dan pendidikan ketenteraan, bagi menyediakan bantuan kepada Taiwan.'
Sebelum ini, pasukan tentera China mengadakan latihan besar-besaran di sekeliling Taiwan, membabitkan simulasi serangan bersasar dan kepungan.
Beijing mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah China dan berikrar untuk merampasnya semula. - AFP