WASHINGTON: Microsoft berkata penggodam China menyalahgunakan satu kunci digitalnya dan menggunakan kecacatan dalam kod syarikat untuk mencuri e-mel daripada agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan pelanggan lain.
Syarikat itu menerusi catatan di blog berkata, penggodam menggunakan kunci digital yang diperolehi menerusi kaedah tidak didedahkan dan mengambil kesempatan daripada 'ralat pengesahan dalam kod Microsoft' bagi menjalankan aktiviti pengintipan siber.
Blog itu memberi penjelasan lengkap berhubung aktiviti penggodaman yang memberi kesan kepada industri keselamatan siber serta hubungan China-AS, namun dakwaan pembabitan dalam aktiviti itu dinafikan Beijing.
Namun, ia tidak menjelaskan bagaimana penggodam mendapat akses kepada kunci itu menyebabkan beberapa pakar membuat spekulasi Microsoft sudah digodam sebelum kejadian terbabit.
Kejadian itu menyebabkan amalan keselamatan Microsoft diletakkan di bawah pemerhatian dengan pegawai dan penggubal undang-undang menggesa syarikat berkenaan melaksana serta mendedahkan audit digital secara menyeluruh, termasuk log panggilan kepada umum secara percuma.
Syarikat berpangkalan di Redmond, Washington itu menerusi kenyataan kelmarin, menegaskan mengambil kira semua kritikan dikemukakan terhadap pihaknya.
"Kita sedang meneliti maklum balas dan terbuka bagi model berbeza," katanya sambil menambah pihak 'bekerjasama erat' dengan pegawai AS berhubung isu terbabit.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memaklumkan perkembangan itu kepada Diplomat China, Wang Yi ketika menghadiri mesyuarat di Jakarta, Indonesia kelmarin.
"Sebarang tindakan menyasarkan kerajaan, syarikat atau warga AS menjadi kebimbangan utama kami, selain akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi isu terbabit," katanya memetik pegawai kanan Jabatan Negara republik itu.
Rabu lalu, Microsoft dan pegawai AS mendakwa penggodam ada kaitan dengan kerajaan China dan mengakses akaun e-mel hampir 25 organisasi, termasuk sekurang-kurangnya dua agensi kerajaan iaitu Jabatan Kerajaan dan Perdagangan, secara senyap sejak Mei lalu. - REUTERS