Sabtu, 8 Julai 2023 | 11:33am
Tertuduh kes tembakan di kedai Walmart di El Paso, Texas, Amerika Syarikat, Patrick Crusius, 24, yang dijatuhkan 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut. - Foto REUTERS
Tertuduh kes tembakan di kedai Walmart di El Paso, Texas, Amerika Syarikat, Patrick Crusius, 24, yang dijatuhkan 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut. - Foto REUTERS

Tertuduh kes tembak di AS dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup

HOUSTON: Seorang lelaki yang membunuh 23 orang di sebuah pasar raya di bandar El Paso, Texas di Amerika Syarikat (AS) pada 2009, semalam dijatuhkan 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut.

Patrick Crusius, 24, mengaku bersalah pada Februari lalu atas tuduhan jenayah kebencian berkaitan dengan penembakan besar-besaran pada 3 Ogos 2019 di El Paso Walmart.

Crusius masih menghadapi perbicaraan pada peringkat negeri di Texas, yang tidak menolak kemungkinan dia akan dijatuhkan hukuman mati.

"Tiada seorang pun di negara ini harus hidup dalam ketakutan terhadap keganasan yang didorong kebencian sehingga menjadi sasaran kerana rupa mereka atau dari mana mereka berasal," kata Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan.

Tambahnya, 90 hukuman penjara seumur hidup yang diumumkan itu memberi jaminan bahawa Patrick Crusius akan menghabiskan sepanjang hayatnya di penjara kerana tindakannya itu.

Penolong Peguam Negara, Kristen Clarke menyifatkan penembakan itu sebagai 'salah satu tindakan paling mengerikan yang didorong oleh nasionalis kulit putih pada zaman moden'.

Crusius memandu kira-kira 1,060 kilometer (km) dari Allen, Texas, berhampiran Dallas ke Walmart Supercenter di El Paso dengan senapang jenis AK-47 bersama 1,000 butir peluru.

Dia melepaskan tembakan ke arah orang ramai di tempat letak kereta pasar raya berkenaan sehingga membunuh 23 manakala 22 orang lagi cedera.

Menurut dakwaan Mahkamah Persekutuan, sebelum Crusius melakukan serangannya, dia memuat naik dokumen ke internet bertajuk 'The Inconvenient Truth' atau 'Kebenanaran Yang Membimbangkan', di mana dia berkata serangannya 'adalah tindak balas terhadap pencerobohan golongan Amerika Latin di Texas'.

Dia mendakwa tindakannya itu sebagai 'mempertahankan negara daripada penggantian budaya dan etnik', merujuk kepada konsep ketuanan kulit putih yang mendakwa kumpulan etnik lain cuba 'menggantikan' mereka dalam kalangan penduduk.

Ketika polis tiba di lokasi kejadian, Crusius keluar dari keretanya dan memperkenalkan dirinya sebagai penembak, malah ketika dalam tahanan dia turut memberitahu pihak polis bahawa dia akan membunuh orang Mexico.

Pembunuhan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai bagaimana kritikan berulang kali bekas presiden AS, Donald Trump, terhadap pendatang akan mempengaruhi tingkah laku penyokongnya.

Serangan Crusius adalah antara kes tembakan besar-besaran yang paling ngeri pernah berlaku dalam sejarah AS.

Ia berlaku dua tahun selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 58 orang di konsert luar di Las Vegas dan tiga tahun selepas seorang lelaki membunuh 49 orang di kelab malam LGBTQ di Orlando, Florida. - AFP

Berita Harian X