WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam memberi amaran mengenai undang-undang baharu anti pengintipan China yang membawa risiko tindakan undang-undang kepada syarikat asing beroperasi di negara itu .
Syarikat asing di China kini boleh dihukum pihak berkuasa China hanya kerana menjalankan perniagaan mereka, sekiranya ia ditakrifkan sebagai mengintip.
Penggubal undang-undang China tahun ini meluluskan kemas kini kepada undang-undang anti pengintipan Beijing yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, melarang pemindahan sebarang maklumat berkaitan keselamatan negara dan meluaskan definisi pengintipan.
Pusat Perisikan dan Keselamatan Kebangsaan (NCSC) AS berkata China melihat aliran keluar data sebagai risiko keselamatan negara dan undang-undang baharu dan sedia ada boleh memaksa warga China yang bekerja di syarikat tempatan untuk membantu dalam usaha perisikan China.
"Undang-undang ini memberikan kerajaan China alasan undang-undang yang diperluaskan untuk mengakses dan mengawal data yang dipegang oleh firma asing termasuk AS di China.
"Syarikat AS dan individu di China juga boleh berdepan hukuman kerana menjalankan perniagaan yang anggap oleh Beijing sebagai tindakan pengintipan atau tindakan yang membantu sekatan asing terhadap China," katanya.
Sebarang dokumen, data, bahan atau item boleh dianggap relevan dengan keselamatan negara China selain meletakkan wartawan, ahli akademik dan penyelidik dalam risiko.
Jurucakap kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata Beijing mempunyai hak untuk menjaga keselamatan negara melalui perundangan domestik.
Pemimpin China, Xi Jinping, menekankan keselamatan negara sejak memegang jawatan pada 2012.
Kecurigaan di China terhadap AS dan sekutunya meningkat apabila saingan kedua-dua negara semakin sengit, namun Beijing mengamalkan dasar terbuka kepada pelaburan luar negara.
Pegawai AS berkata sejak undang-undang itu digubal pada April lalu, mereka menerima banyak pertanyaan daripada perniagaan dan kumpulan lain mengenai risiko perjalanan ke China.
Jabatan Negara AS juga mengemas kini nasihat perjalanannya untuk China semalam, dengan menaikkan amaran 'risiko penahanan salah' supaya rakyat AS mempertimbangkan semula keperluan perjalanan ke negara itu.
Duta Besar AS ke China, Nicholas Burns berkata, sasaran Beijing terhadap firma negara itu adalah bermotifkan politik dan akan ditentang Washington. - REUTERS