Sabtu, 24 Jun 2023 | 10:48am
Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Merrick Garland (kiri) bersama Pentadbir Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS, Anne Milgram (kanan), pada sidang media mengumumkan pendakwaan empat syarikat China yang menjual bahan mentah membuat dadah fentanyl di AS. - Foto AFP
Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Merrick Garland (kiri) bersama Pentadbir Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS, Anne Milgram (kanan), pada sidang media mengumumkan pendakwaan empat syarikat China yang menjual bahan mentah membuat dadah fentanyl di AS. - Foto AFP

AS dakwa 4 syarikat China jual bahan hasilkan fentanyl

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa empat syarikat China dan lapan individu kerana memperdagangkan bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan fentanyl, kata Peguam Negara, Merrick Garland, semalam.

Dua daripada lapan individu itu ditahan ketika Jabatan Kehakiman AS memperhebatkan tindakan keras terhadap opioid sintetik yang bertanggungjawab ke atas ratusan ribu kematian akibat pengambilan dadah secara berlebihan sejak sedekad lalu.

Buat pertama kalinya AS mengambil tindakan ke atas syarikat China kerana mengedar bahan kimia menghasilkan fentanyl di AS, dan bukannya menghantarnya ke Mexico, iaitu lokasi kebanyakan fentanyl ditemui.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping.

"Syarikat-syarikat ini dan pekerja mereka dengan sengaja berpakat untuk mengeluarkan fentanyl yang boleh membawa maut untuk diedarkan di AS.

"Satu daripada syarikat kimia yang berpangkalan di China ini menghantar lebih daripada 200 kilogram bahan kimia mentah berkaitan fentanyl ke AS untuk tujuan membuat 50 kilogram fentanyl, dos yang cukup untuk membunuh 25 juta rakyat AS," katanya.

Syarikat yang didakwa dalam tiga kes berasingan adalah Hubei Amarvel Biotech, Anhui Rencheng Technology, Anhui Moker New Material Technology dan Hefei GSK Trade, menerusi kes difailkan di mahkamah Persekutuan di New York.

Dalam pada itu, seramai lapan individu didakwa termasuk eksekutif dan pekerja di empat syarikat.

Dua suspek yang ditahan, kedua-duanya pekerja Hubei Amarvel, ditahan oleh pegawai AS di Honolulu, Hawaii selepas diusir dari Fiji pada 8 Jun lalu.

Walaupun Mexico menjadi sumber utama fentanyl yang dijual di AS, Washington dilihat memberikan tumpuan kepada pembekal dalam kalangan warga Mexico di China.

Fentanyl ialah opioid sintetik yang 50 kali lebih kuat daripada heroin, malah lebih mudah lagi murah untuk dihasilkan.

Ia sebahagian besarnya menggantikan heroin dan opioid preskripsi seperti oksikodon yang sebelum ini menjadi punca pengambilan dadah secara berlebihan.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit AS, 110,000 rakyat AS meninggal dunia akibat pengambilan fentanyl secara berlebihan pada tahun lalu.

"Dua kartel dadah yang bertanggungjawab terhadap kemasukan fentanyl ke AS adalah kartel Sinaloa dan Jalisco.

"Keduanya bekerjasama dengan syarikat kimia berpangkalan di Republik Rakyat China untuk mendapatkan bahan mentah mereka," kata Pentadbir Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS, Anne Milgram. - AFP

Berita Harian X