MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga susulan gelombang panas lewat musim bunga yang luar biasa menyebabkan suhu meningkat untuk beberapa minggu.
Data kementerian kesihatan menunjukkan sekurang-kurangnya enam orang meninggal dunia tahun ini akibat suhu yang lebih tinggi daripada biasa.
Jururawat, Abigail Lopez, berkata akibat suhu amat panas beliau minum lebih banyak air dan memakai pakaian yang lebih ringan untuk cuba mengatasi kepanasan.
Perkhidmatan meteorologi Mexico meramalkan suhu melebihi 30 Celsius pada Khamis di semua 32 negeri di negara itu, dengan paras tertinggi sekurang-kurangnya 10 darjah lebih panas di 23 negeri.
Menurut saintis dari Institut Sains Atmosfera dan Perubahan Iklim di Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, gelombang haba ini akan berterusan selama 10 hingga 15 hari lagi.
Mereka berpendapat fenomena yang sama mungkin berulang pada awal Julai.
Di Mexico City, kanak-kanak bermain air pancut di taman awam sementara orang ramai melindungi diri mereka daripada matahari dengan payung.
Gelombang haba yang melanda ibu negara Mexico itu sering berlaku antara April dan Mei.
Di hab perindustrian Monterrey, ibu negeri Nuevo Leon, pekerja perkhidmatan kecemasan memberikan secawan air sejuk kepada pejalan kaki ketika suhu meningkat melebihi 40 Celsius.
Di sembilan negeri termasuk Nuevo Leon, suhu diramalkan mencecah 45 Celsius pada Khamis.
Ketua agensi perkhidmatan kecemasan Nuevo Leon, Erik Cavazos kemungkinan besar tempoh gelombang haba akan lebih panjang.
"Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, kami tidak mengalami gelombang haba yang begitu panjang, itulah sebabnya kami melabelkannya sebagai luar biasa," katanya. - REUTERS