WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata, beliau didakwa dalam siasatan persekutuan berhubung pengendalian dokumen sulitnya selepas tidak lagi memegang jawatan itu.
"Pentadbiran Biden yang korup telah memaklumkan kepada peguam saya, bahawa (saya) telah didakwa, nampaknya atas 'penipuan yang tidak berasas'," kongsi Trump di platform Truth Social ketika mengumumkan beliau didakwa secara jenayah buat kali kedua.
Bagaimanapun, setakat ini, Jabatan Kehakiman tidak mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
Dalam hantarannya, Trump, yang bakal bertanding semula sebagai presiden berkata, beliau telah dipanggil ke Mahkamah Persekutuan pada Selasa di Miami.
"Saya tidak pernah menyangka perkara seperti ini boleh berlaku kepada bekas presiden AS," tulisnya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas media AS berkata, pendakwa raya persekutuan telah memaklumkan peguam bekas presiden itu bahawa beliau menjadi sasaran siasatan bagi pengendalian dokumen sulitnya.
Beliau sebelum ini menjadi bekas atau presiden pertama didakwa melakukan jenayah, dalam kesnya berhubung pembayaran wang menjelang pilihan raya kepada pelakon dan pengarah filem lucah, Stormy Daniels, atau nama sebenarnya, Stephanie Clifford.
Daniels sebelum ini mendakwa menerima wang daripada Trump sebagai sogokan supaya 'tutup mulut' mengenai hubungan sulitnya dengan bekas presiden AS itu pada 2006.
Trump sebelum ini turut menafikan pernah mempunyai hubungan sulit dengan Daniels dan menyifatkan pembayaran itu sebagai satu 'transaksi peribadi'.
Peguam khas, Jack Smith, yang dinamakan oleh Peguam Negara, Merrick Garland, telah meneliti koleksi dokumen sulit yang disimpan Trump di kediamannya di Mar-a-Lago selepas meninggalkan Rumah Putih.
FBI membawa pulang kira-kira 11,000 kertas selepas menyerahkan waran geledah di Mar-a-Lago pada Ogos dan Trump boleh menghadapi tuduhan menghalang siasatan selepas menghabiskan masa selama berbulan-bulan bagi membantah usaha mendapatkan semula harta itu.
Trump bagaimanapun berulang kali menafikan terbabit dalam sebarang salah laku.
Beliau juga berpotensi untuk didakwa dalam dua lagi kes, atas usahanya membatalkan keputusan pilihan raya 2020 di Georgia dan peranannya menghasut serangan di Capitol pada 2021. - AFP