NEW YORK: Bekas Naib Presiden Amerika Syarika (AS), Mike Pence dan bekas Gabenor New Jersey, Chris Christie akan membuat pengumuman minggu depan untuk bertanding jawatan presiden.
Selain itu, bekas Presiden AS, Donald Trump akan menyertai senarai calon dari parti Republikan untuk merebut jawatan nombor satu itu, cubaan menggulingkan penyandang sekarang, Joe Biden.
Berikut senarai calon Pemilihan Presiden AS 2024;
Calon parti Republikan
1. Donald Trump.
Trump, 76, mengumumkan kempen pemilihannya pada November tahun lalu sewaktu beliau menerima kritikan lantang termasuk daripada rakan dalam Republikan, berikutan sokongannya terhadap calon sayap kanan yang tewas dalam pilihan raya selepas penggal pertama, selepas empat tahun.
Seperti Biden, Trump tidaklah popular dalam kalangan pengundi, namun mengekalkan cengkaman kukuh di pangkalannya dan kedudukan dalam tinjauan pendapat.
2. Ron Desantis
Desantis, 44, menduduki tempat kedua di bawah Trump dalam tinjauan pendapat.
Beliau menandatangani rang undang-undang (RUU) yang mengenakan sekatan baharu ke atas pengguguran dan melonggarkan lagi undang-undang senjata api.
3. Tim Scott
Scontt, 57, satu-satunya senator AS dari Republikan yang berkulit hitam dan kurang dikenali dalam kalangan penduduk di luar Carolina Selatan.
Namun keyakinan dan tumpuannya untuk menyatukan partinya yang berpecah, mendorongnya tampil berbeza dengan pendekatan lebih agresif, jika dibandingkan dengan Trump dan De Santis. Hanya mempunyai satu peratus sokongan dalam kalangan ahli Republikan.
4. Nikki Haley
Haley, 51, seorang bekas Gabenor Carolina Selatan dan pernah menjadi duta Trump ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau anak kepada migran India. Reputasinya dalam parti sebagai seorang konservatif yang kukuh kerana berupaya menangani isu berkait jantina dan kaum. Beliau menerima empat peratus sokongan pengundi Republikan.
5. Vivek Ramaswamy
Berusia 37, beliau ialah bekas pelabur dan eksekutif bioteknologi yang melancarkan sebuah firma pada 2023, memberi tekanan kepada syarikat supaya meninggalkan inisiatif tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat.
Mengumumkan untuk bertanding atas tiket Republikan pada Februari lalu, beliau digelar 'orang luar politik' yang berpotensi kepada Trump, selain diramalkan kekal sebagai calon pada masa depan.
6. Mike Pence
Bekas Naib Presiden sewaktu Trump bergelar Presiden AS, 'melawan' bekas bosnya berhubung kejadian serangan oleh penyokong Trump ke atas Capitol papda 2021. Ketika itu, Pence berada dalam bangunan berkenaan.
Pence, 63, berkata sejarah bakal menyaksikan Trump bertanggungjawab kerana peranannya dalam serangan ke atas bangunan Palimen AS itu.
7. Chris Christie
Christie, 60, bekas Gabenor New Jersey. Pernah menasihati hal berkaitan kempen Rumah Putih ketika Trump berkuasa pada 2016.
Digelar calon 'underdog', beliau memperoleh satu peratus sokongan dari Republikan dengan mengatakan beliau bakal menjadi calon pilihan pada 2024, menerusi tinjauan pendapat dijalankan Reuters/Ipsos pada Mei lalu.
8. Asa Hutchinson
Hutchinson, 72, ialah bekas Gabenor Arkansas. Pernah menggesa Trump berundur daripada jawatan presiden.
Mencanang pengalamannya memimpin negara yang sangat konservatif sebagai bukti beliau boleh melaksanakan dasar yang peduli rakyat.
9. Doug Burgum
Burgum, 66, sedang berkhidmat sebagai Gabenor Dakota Utara bagi penggal kedua. Beliau merancang untuk melancarkan kempen pilihan raya pada 7 Jun ini.
Seorang usahawan perisian yang berjaya sebelum menjual perniagaannya kepada Microsoft Corp pada 2001, beliau sedang berusaha menonjolkan dirinya sebagai seorang konservatif tradisional yang akan menumpukan soal ekonomi dan keselamatan negara.
DEMOKRAT
1. Joe Biden.
Berumur 80 tahun, beliau ialah Presiden AS tertua, perlu meyakinkan pengundi beliau mempunyai stamina untuk tempoh empat tahun lagi di Rumah Putih.
Ketika ini, timbul kebimbangan pengundi tentang usianya dan penilaian reputasinya yang lemah.
2. Marianne Williamson
Seorang pengarang popular dan jurulatih bantu diri. Beliau bertanding atas tiket Demokrat dalam pemilihan presiden 2020, namun terkeluar daripada persaingan, sebelum undi berlangsung.
Beliau melancarkan kempen terbaharunya pada 23 Mac lalu.
3. Robert Kennedy Jr.
Kennedy, 69, seorang aktivis antivaksin yang sudah lama mencuba untuk mencabar Biden bagi pencalonan atas tiket Demokrat.
Anak kepada Senator AS, Robert F Kennedy yang dibunuh pada 1968 pernah diharamkan daripada Youtube dan Instagram kerana menyebarkan maklumat salah mengenai vaksin serta COVID-19.