Khamis, 25 Mei 2023 | 2:54pm
Foto Richard ‘Bigo’ Barnett, yang dirakam ketika menopang kaki di atas meja di pejabat bekas Speaker Dewan, Nancy Pelosi, menjadi antara imej paling terkenal dalam rusuhan Capitol Hill. - Foto AFP
Foto Richard ‘Bigo’ Barnett, yang dirakam ketika menopang kaki di atas meja di pejabat bekas Speaker Dewan, Nancy Pelosi, menjadi antara imej paling terkenal dalam rusuhan Capitol Hill. - Foto AFP

Lelaki Arkansas terbabit rusuhan di Capitol Hill dipenjara

TORONTO: Seorang lelaki dari Arkansas, Amerika Syarikat (AS) terbabit dalam serangan 6 Januari 2021 ke atas Capitol AS dijatuhi hukuman penjara empat setengah tahun pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

Dia didakwa berdasarkan gambarnya yang dirakam ketika menopang kaki di atas meja di pejabat bekas Speaker Dewan, Nancy Pelosi.

Richard 'Bigo' Barnett, 62, disabitkan bersalah pada Januari atas lapan pertuduhan – empat jenayah dan empat salah laku – berkaitan serangan ke atas Capitol.

"Barnett didapati bersalah pada 23 Januari 2023 atas semua pertuduhan termasuk menghalang prosiding rasmi, mengganggu pegawai polis semasa menjaga ketenteraman awam, memasuki dan berada dalam bangunan atau kawasan larangan.

"Dia juga dituduh membawa senjata berbahaya atau boleh mengakibatkan maut, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu dalam bangunan atau kawasan larangan dengan senjata berbahaya, yang kesemuanya perbuatan jenayah," menurut Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Foto Barnett di pejabat Pelosi itu menjadi antara imej paling terkenal dalam rusuhan Capitol Hill.

Hakim Daerah AS, Christopher Cooper, ketika membacakan penghakiman berkata lelaki itu tidak bertanggungjawab atas tindakannya, menurut laporan media.

Lima maut akibat keganasan di Capitol Hill pada 6 Januari selain bangunan Capitol rosak teruk. Empat pegawai penguatkuasa undang-undang maut akibat bunuh diri selepas kejadian itu.

Serangan itu adalah yang pertama ke atas Capitol sejak tentera British membakarnya semasa Perang 1812. - BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X