Jumaat, 5 Mei 2023 | 2:12am
(Gambar fail) Enrique Tarrio. - REUTERS
(Gambar fail) Enrique Tarrio. - REUTERS

Serangan di Capitol AS: 4 ahli Proud Boys sabit kesalahan konspirasi menghasut

WASHINGTON: Empat ahli kumpulan berhaluan kanan, Proud Boys, semalam didapati bersalah atas pertuduhan konspirasi menghasut dalam kejadian serangan di Capitol pada 6 Januari 2021, lapor media Amerika Syarikat (AS).

Bekas 'pengerusi kebangsaan' Proud Boys, Enrique Tarrio, dan tiga ahli organisasi neofasis itu disabitkan kesalahan selepas menjalani perbicaraan berprofil tinggi di ibu negara.

Tarrio bersama empat defendan lain - Joseph Biggs, Ethan Nordean, Zachary Rehl serta Dominic Pezzola - dituduh cuba menghalang pengiktirafan Kongres terhadap kejayaan Joe Biden menewaskan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden AS ketika itu.

Tarrio tidak berada di Washington pada 6 Januari 2021 tetapi didakwa mengarahkan ahli Proud Boys menyerbu Capitol.

Tarrio, Biggs, Nordean dan Rehl didapati bersalah atas pertuduhan konspirasi menghasut, namun juri berdepan jalan buntu bagi pertuduhan menghasut dihadapi Pezzola.

Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh itu disabitkan kesalahan atas beberapa pertuduhan lain, termasuk melakukan halangan ke atas Kongres.

Lebih 900 orang ditahan berkaitan kes penyokong Trump menyerbu Kongres, namun hanya segelintir didakwa atas pertuduhan konspirasi menghasut yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun.

Kejadian pada 2021 itu menyebabkan sekurang-kurang lima maut dan 140 anggota polis cedera. - AFP

Berita Harian X