Isnin, 1 Mei 2023 | 10:22pm
Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada pertemuan di New York, 23 September 2022. - Foto ihsan Twitter Bongbong Marcos
Presiden AS, Joe Biden (kanan) dan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada pertemuan di New York, 23 September 2022. - Foto ihsan Twitter Bongbong Marcos

Biden, Marcos bincang penguasaan Beijing di Laut China Selatan

WASHINGTON: Presiden Joe Biden dan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Marcos Jr, akan mengadakan perbincangan bagi memeriksa perluasan agresif Beijing di laluan perdagangan dan pulau-pulau strategik di Laut China Selatan.

Marcos dalam rangka perjalanan empat hari ke sini selepas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengadakan perjumpaan minggu lalu dan mesyuarat di Rumah Putih antara Biden dan Perdana Menteri, Jepun Fumio Kishida, Januari lalu.

Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS), berkata adalah jelas kedua-dua pihak kini berada dalam tempoh yang sangat penting dari segi pembabitan di kawasan Indo-Pasifik.

"Ini adalah pertemuan pertama di peringkat ini serta intensiti atau keamatan antara AS dan Filipina dalam tempoh sedekad.

Amaran mula berbunyi bagi Washington dan sekutunya di Asia ketika China bergerak dengan lebih yakin bagi menerapkan tuntutan kedaulatannya ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengabaikan keputusan antarabangsa bahawa ia tidak mempunyai asas undang-undang.

Ketegangan itu digabungkan dengan perebutan berterusan membabitkan Taiwan, mendorong pentadbiran Biden untuk meningkatkan keupayaan ketenteraannya dengan pantas.

Filipina yang letaknya berhampiran laluan utama dan Taiwan, menjadikan negara ini tumpuan khusus.

Marcos memberi isyarat ketika berlepas ke Washington bahawa beliau risau terperangkap di antara dua kuasa besar itu.

Katanya, beliau tidak akan membenarkan Filipina digunakan sebagai tapak pementasan untuk sebarang jenis tindakan ketenteraan.

Bagaimanapun, bulan ini, Filipina mengenal pasti empat pangkalan tentera, di mana tentera AS akan diberi akses termasuk satu yang letaknya berhampiran Kepulauan Spratly.

Kedua-dua sekutu itu juga melakukan gerakan ketenteraan terbesar dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Tindakan itu mencemaskan China, yang menuduh Washington cuba memecah belahkan Beijing dan Manila.

Pada 23 April lalu, sebuah kapal China hampir berlanggar dengan kapal Pengawal Pantai Filipina yang lebih kecil di Kepulauan Spratly.

- AFP

Berita Harian X