Selasa, 18 April 2023 | 11:45am
Warga Amerika Syarikat (AS) Lu Jianwang, 61, dituduh bersubahat untuk bertindak sebagai ejen kerajaan China dengan mengendalikan ‘balai polis rahsia’ China di Chinatown Manhattan. - Foto REUTERS
Warga Amerika Syarikat (AS) Lu Jianwang, 61, dituduh bersubahat untuk bertindak sebagai ejen kerajaan China dengan mengendalikan ‘balai polis rahsia’ China di Chinatown Manhattan. - Foto REUTERS

2 ditahan tubuhkan 'balai polis rahsia' China di New York

NEW YORK: Pegawai penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS), semalam menahan dua penduduk New York kerana didakwa mengendalikan 'balai polis rahsia' China di Chinatown Manhattan.

Lu Jianwang, 61, dan Chen Jinping, 59, dituduh bersubahat untuk bertindak sebagai ejen kerajaan China tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa AS dan menghalang keadilan.

Mereka dibebaskan dengan bon selepas hadir di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.

Siasatan 2022 yang diterbitkan oleh kumpulan advokasi berpangkalan di Sepanyol, Safeguard Defenders, melaporkan bahawa China menubuhkan 'stesen perkhidmatan' di luar negara, termasuk di New York.

Stesen berkenaan didakwa bekerja secara haram dengan polis China bagi menekan pelarian untuk kembali ke negara itu selain menguruskan hal ehwal warga China.

Kerajaan China berkata terdapat pusat di luar China yang dikendalikan oleh sukarelawan tempatan, bukan pegawai polis China, yang bertujuan membantu warga China memperbaharui dokumen dan menawarkan perkhidmatan lain.

Jabatan Kehakiman meningkatkan siasatan terhadap apa yang digelar 'penindasan transnasional' oleh musuh AS seperti China dan Iran untuk menakut-nakutkan lawan politik yang tinggal di AS.

Pendakwa Raya Persekutuan Kanan di Brooklyn, Breon Peace, berkata pihaknya tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan penganiayaan kerajaan China terhadap aktivis pro-demokrasi yang mencari perlindungan di AS.

Selain itu, pendakwa raya semalam turut mendedahkan pertuduhan terhadap 34 pegawai China kerana didakwa mengendalikan 'ladang troll' dan melakukan gangguan dalam talian selain menjadi alat propaganda China.

Pihak pendakwaan turut menambah lapan pegawai kerajaan China sebagai defendan dalam kes terhadap bekas eksekutif Zoom Video Communications Inc yang berpangkalan di China kerana mengganggu mesyuarat dalam talian bagi memperingati bantahan Dataran Tiananmen 1989.

Sebelum ini, puluhan warga China dan beberapa yang lain didakwa melakukan kempen pengawasan dan gangguan terhadap penentang yang tinggal di AS, termasuk cubaan menghantar pulang secara paksa mereka yang dianggap sebagai pelarian. - REUTERS

Berita Harian X