MIAMI: Donald Trump memfailkan saman terhadap bekas peguam peribadinya, Michael Cohen yang berkemungkinan akan menjadi saksi utama dalam kes jenayah dihadapi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu di New York.
Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Florida, bagi menuntut AS$500 juta daripada Cohen kerana didakwa melanggar ketetapan khas dan perjanjian kerahsiaan peguam-pelanggan.
Dalam saman itu, Trump menuduh Cohen 'menyebarkan perkara palsu' mengenai beliau, sekali gus mendakwa dirinya mengalami 'kemudaratan reputasi yang teruk.'
Trump menuntut perbicaraan juri, dan ganti rugi pampasan serta punitif lebih AS$500 juta.
Cohen, 56, adalah antara saksi memberi keterangan di hadapan juri besar yang membawa kepada pertuduhan ke atas Trump, sekali gus menyaksikan beliau menjadi bekas Presiden AS yang pertama menghadapi pertuduhan jenayah.
Trump, 76, berdepan 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan dalam kes berkait pemberian wang sogokan kepada pelakon lucah, Stormy Daniels.
Cohen sebelum ini mendakwa beliau mengaturkan pembayaran AS$130,000 untuk menutup mulut wanita itu yang mendakwa mempunyai hubungan dengan Trump pada 2006.
Bagaimanapun, Trump mengaku tidak bersalah di mahkamah di Manhattan pada 4 April lalu.
Sementara itu di New York, Trump memohon hakim untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada 25 April depan berhubung kes sama ada beliau memfitnah bekas penulis kolum majalah Elle, E Jean Carroll, dengan menafikan pernah merogol wanita berkenaan.
Trump mengemukakan permohonan itu dengan menyatakan ia berikutan 'liputan meluas media yang prejudis' terhadap pertuduhan jenayah yang dihadapinya.
Dalam surat kepada Hakim Lewis Kaplan di Manhattan, kelmarin, peguam Trump berkata, tempoh 'bertenang' sekurang-kurang selama empat minggu hingga 23 Mei depan adalah perlu bagi menjamin anak guamnya itu mendapat perbicaraan adil dalam kes membabitkan Carroll. - AGENSI