WASHINGTON: Vaksin kajian Pfizer Inc mencatat keberkesanan hingga 82 peratus dalam mencegah bayi daripada terkena jangkitan teruk saluran pernafasan dikenali sebagai virus sinsitium pernafasan (RSV), apabila ia diberikan kepada ibu yang sedang dalam fasa separuh akhir kehamilan.
Perincian hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, New England Journal of Medicine, semalam, sekali gus mengesahkan data awal daripada kajian berkenaan.
Pada November tahun lalu, Pfizer mengeluarkan hasil ujian awal terhadap vaksin itu yang kini disemak oleh pengawal selia kesihatan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dijangka membuat keputusan berhubung perkara itu pada Ogos depan.
Sekiranya diluluskan FDA, suntikan Pfizer itu bakal menjadi vaksin pertama kepada ibu mengandung bagi mencegah penyakit berkenaan pada bayi.
Sanofi dan AstraZeneca sedang membangunkan antibodi dos tunggal, nirsevimab, juga bagi mencegah jangkitan RSV dalam kalangan bayi. Ia juga sedang disemak oleh FDA.
Vaksin Pfizer dikenali sebagai RSVpreF, memenuhi satu daripada dua sasaran utama kajian peringkat akhir. Ia hampir 82 peratus berkesan dalam mencegah penyakit saluran pernafasan yang teruk, seperti tahap oksigen sangat rendah atau memerlukan sokongan ventilator, pada bayi dalam tempoh 90 hari pertama dilahirkan.
Menurut Pfizer, sakit teruk berlaku dalam tempoh tiga bulan pada enam bayi yang ibu mereka menerima vaksin, berbanding 33 bayi daripada kumpulan plasebo yang mengalami jangkitan serius RSV. Syarikat itu melakukan penilaian terhadap 3,570 bayi sebagai sebahagian daripada kajian itu.
Suntikan itu 69.4 peratus berkesan mencegah jangkitan teruk dalam tempoh 180 hari pertama. Sakit teruk berlaku dalam tempoh enam bulan pada 19 bayi yang dilahirkan ibu dalam kumpulan vaksin, berbanding 62 bayi dalam kumpulan plasebo. - REUTERS