Rabu, 5 April 2023 | 4:08pm
Penyokong pro-demokrasi dan Taiwan berkumpul di hadapan hotel Westin Bonaventure, lokasi penginapan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen sebelum bertemu Kevin McCarthy, di Los Angeles semalam. - Foto AFP
Penyokong pro-demokrasi dan Taiwan berkumpul di hadapan hotel Westin Bonaventure, lokasi penginapan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen sebelum bertemu Kevin McCarthy, di Los Angeles semalam. - Foto AFP

Speaker Dewan AS teruskan pertemuan dengan Presiden Taiwan biarpun diancam China

LOS ANGELES : Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy hari ini bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen untuk satu mesyuarat yang begitu simbolik di California, sehingga mencetuskan kemarahan dan amaran China.

Pertemuan di luar Los Angeles itu diadakan sebagai antara program persinggahan Ing-wen, selepas mengadakan lawatan dua negara di Amerika Latin bagi melawat beberapa sekutu rasmi Taiwan yang masih menetap disana.

Demonstrasi pro-China juga diadakan ketika ketibaan Ing-wen petang semalam, sebaik beliau selesai lawatannya ke Amerika Tengah, dengan peserta yang berkumpul turut melaungkan 'Satu China'.

Beijing mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan menolak sebarang hubungan rasmi Taipei dengan negara lain.

Minggu ini, mereka memberi amaran kepada McCarthy, Republikan dan California yang berada di barisan kedua kepemimpinan selepas jawatan Presiden AS, bahawa mereka sudah mencetuskan ketegangan dengan bertemu Ing-wen.

"China amat menentang AS mengatur perjalanan Ing-wen supaya transit melalui wilayahnya serta menentang keras pertemuan antara McCarthy, pegawai AS peringkat ketiga dan Ing-wen.

"Ia secara serius melanggar prinsip Satu China dan tiga kenyataan bersama China-AS serta secara serius menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah China," kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning.

Taiwan, sebuah negara demokrasi yang berkembang pesat, mempunyai kerajaannya sendiri sejak beberapa dekad lalu.

Mereka mempunyai ketenteraan sendiri, badan kehakiman bebas dan semua badan pemerintahan negara yang berfungsi sepenuhnya, namun hanya segelintir negara mengakuinya sebagai negara yang berdaulat.

AS secara rasmi mengiktiraf Beijing, namun tetap menjadi penyokong penting kepada Taiwan dan mengekalkan hubungan tidak rasminya yang kukuh.

Taipei memperolah sokongan kuat dua parti dalam Kongres AS dan hubungannya terus berkembang dengan Washington di bawah kepemimpinan Ing-wen. -AFP.

Berita Harian X