Rabu, 5 April 2023 | 9:37am
Trump berucap di hadapan penyokongnya di West Palm Beach, Florida, malam tadi. - Getty Images via AFP
Trump berucap di hadapan penyokongnya di West Palm Beach, Florida, malam tadi. - Getty Images via AFP

'Saya mangsa campur tangan dalam pilihan raya'

PALM BEACH: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa dirinya adalah mangsa 'campur tangan dalam pilihan raya', beberapa jam selepas beliau dihadapkan ke mahkamah atas 34 pertuduhan jenayah, semalam.

Beliau sekali gus membidas pendakwa raya di New York, Alvin Bragg, kerana membuat pertuduhan berkenaan terhadapnya.

"Saya tidak pernah menyangka perkara sebegini akan berlaku di Amerika.

"Satu-satunya jenayah yang saya lakukan ialah tanpa gentar mempertahankan negara kita daripada mereka yang mahu menghancurkannya," dakwa Trump ketika berucap di hadapan penyokong beliau di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida, malam tadi.

Terdahulu, Trump mengaku tidak bersalah di mahkamah di Manhattan atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan. Ia berkait dakwaan beliau mendalangi pemberian wang sogokan kepada dua wanita sebelum pilihan raya AS pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.

Trump menuduh Bragg bertindak terhadapnya sebelum pendakwa raya itu 'mengetahui apa-apa' mengenai beliau, selain mendakwa hakim dalam kes berkenaan, Juan Merchan adalah 'hakim pembenci Trump.'

Trump turut mengimbau pelbagai kes perundangan dihadapinya, termasuk pengendalian dokumen sulit yang dibawa ke Mar-a-Lago apabila beliau meninggalkan Rumah Putih pada awal 2021, serta dakwaan campur tangan dalam pilihan raya yang dihadapinya di Georgia susulan pilihan raya 2020.

"Kes dokumen itu sedang dikendalikan oleh 'peguam khas gila'..." dakwa Trump, merujuk kepada pendakwa raya, Jack Smith.

Pelbagai tindakan undang-undang itu dilihat menjejaskan Trump menjelang pemilihan calon parti Republikan untuk Pilihan Raya Presiden AS pada 2024.

"Kini, berlaku campur tangan dalam pilihan raya secara besar-besaran pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini," dakwa beliau. - REUTERS

Berita Harian X