Rabu, 5 April 2023 | 9:12am
Trump ketika hadir di Mahkamah JenayahManhattan, semalam. - FOTO REUTERS
Trump ketika hadir di Mahkamah JenayahManhattan, semalam. - FOTO REUTERS

Trump didakwa 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan

NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah di Manhattan, semalam, atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.

Ia berkait dakwaan beliau mendalangi pemberian wang sogokan kepada dua wanita membabitkan pelakon lucah, Stormy Daniels, serta bekas model Playboy, Karen McDougal, sebelum pilihan raya AS pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.

Ia adalah detik bersejarah yang menyaksikan Trump muncul sebagai bekas Presiden AS yang pertama berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Pendakwa raya menuduh Trump memalsukan rekod perniagaan bagi menyembunyikan pelanggaran undang-undang pilihan raya ketika berkempen pada 2016.

"Mengaku tidak bersalah," kata Trump, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai sut berwarna biru gelap dan tali leher merah.

Trump yang juga pendahulu dalam pemilihan calon parti Republikan untuk pilihan raya pada 2024, menjawab 'Ya' apabila hakim bertanya sama ada beliau memahami mengenai haknya. Pada ketika tertentu, hakim dilihat meletak tangan ke telinga seolah-olah meminta jawapan.

Pendakwa raya, Chris Conroy, berkata Trump selaku defendan dituduh memalsukan rekod-rekod perniagaan di New York bagi menyembunyikan konspirasi haram untuk menjejaskan integriti Pilihan Raya Presiden 2016 serta pelanggaran undang-undang pilihan raya yang lain.

Walaupun memalsukan rekod perniagaan di New York adalah salah laku yang boleh dihukum penjara tidak lebih setahun, ia menjadi pertuduhan jenayah yang boleh dihukum penjara hingga empat tahun apabila dilakukan untuk tujuan pelaksanaan atau penyembunyian jenayah lain seperti pelanggaran undang-undang pilihan raya.

Pada prosiding itu, pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa Trump membuat beberapa siri hantaran dalam media sosial, termasuk satu yang dikatakan berbaur ancaman 'kematian dan kemusnahan' sekiranya beliau didakwa.

Justeru, hakim meminta pihak-pihak terbabit supaya 'menahan diri daripada membuat kenyataan yang berkemungkinan menghasut keganasan atau pergolakan awam.'

Hakim Juan Merchan kemudian menetapkan tarikh 4 Disember depan untuk pendengaran seterusnya.

Trump tiada memberikan sebarang kenyataan ketika memasuki mahkamah atau beredar kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu pada hari sama, Trump dalam hantaran melalui media sosial memaklumkan beliau dalam perjalanan ke mahkamah di Manhattan, selain mendakwa: 'nampaknya mereka akan menangkap saya.'

Trump turut berdepan siasatan jenayah berasingan oleh pendakwa raya daerah di Georgia mengenai sama ada beliau secara tidak sah cuba menterbalikkan keputusan kekalahannya pada pilihan raya 2020 di negeri itu.

Beliau juga menghadapi dua siasatan Jabatan Kehakiman AS yang diketuai oleh peguam khas, berhubung dakwaan cubaan untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020 dan pengendalian dokumen sulit selepas meninggalkan Rumah Putih. - REUTERS

Berita Harian X