Selasa, 4 April 2023 | 12:22pm
Bekas Presiden AS, Donald Trump tiba di Menara Trump di New York. - Foto AFP
Bekas Presiden AS, Donald Trump tiba di Menara Trump di New York. - Foto AFP

Trump berdepan pertuduhan jenayah bersejarah

NEW YORK: Donald Trump akan membuat kemunculan sulung di hadapan hakim di New York untuk menjawab pertuduhan jenayah terhadapnya, yang berisiko menjejaskan hasratnya untuk sekali lagi merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

Trump adalah bekas Presiden AS pertama dikenakan pertuduhan jenayah, langkah yang membawa arena politik AS ke dalam suasana yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Dengan kawalan keselamatan ketat di Manhattan dan liputan meluas seluruh dunia, Trump, 76, akan dimaklumkan perincian pertuduhan terhadapnya, yang berkait dengan wang sogokan kepada seorang pelakon filem lucah menjelang pilihan raya 2016.

Trump sebelum ini mendakwa beliau adalah mangsa 'pertuduhan politik', di samping menggunakan kes itu untuk memperkukuh sokongan dan meraih sumbangan jutaan dolar bagi membantu usahanya kembali merampas Rumah Putih tahun depan.

Beliau dijangka keluar daripada Menara Trump di Fifth Avenue lewat pagi untuk menuju ke kompleks mahkamah Manhattan dan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Ribuan polis dan sejumlah penyokong dan penentang Trump dijangka berkumpul di jalan raya, manakala televisyen AS akan menyiarkan perjalanan itu secara langsung, namun media AS malam tadi melaporkan hakim memutuskan kamera video tidak dibenarkan di dalam mahkamah.

Trump dijangka melalui proses sama seperti tertuduh lain iaitu pengambilan cap jari, selain gambarnya mungkin turut dirakamkan, namun prosedur itu masih belum pasti kerana belum pernah seorang bekas Presiden AS menyerah diri kepada mahkamah sebelum ini.

Langkah tertuduh, di mana defendan berjalan di hadapan media sambil tangan digari mungkin tidak berlaku untuk bekas Presiden AS yang diletakkan di bawah perlindungan Perkhidmatan Rahsia AS.

Apa yang pasti adalah peguam Trump menegaskan bahawa anak guamnya itu akan membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ketika perbicaraan, yang dijadualkan bermula pada jam 2.15 petang waktu tempatan.

Kira-kira 30 pertuduhan, termasuk satu membabitkan jenayah berat, dijangka dibacakan ketika Trump dihadapkan ke mahkamah nanti, yang dianggarkan mengambil masa 15 minit, sebelum Trump dijadualkan kembali ke Florida, dan menyampaikan ucapan umum.

Trump dikenakan pertuduhan oleh jemaah juri minggu lalu selepas kes berkenaan di bawa oleh pendakwa raya Manhattan yang juga wakil rakyat Demokrat, Alvin Bragg.

Pertuduhan itu membabitkan siasatan terhadap wang sogokan berjumlah AS$130,000 (RM573,000) kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels, beberapa hari sebelum kemenangan Trump dalam pilihan raya 2016.

Bekas peguam dan pembantu Trump, Michael Cohen, mendedahkan beliau mengatur pembayaran itu supaya Daniels menutup mulutnya dan merahsiakan hubungan seksualnya dengan Trump pada 2006. Trump menafikan hubungan sulit itu. - AFP

Berita Harian X