WASHINGTON: Angka kematian akibat ribut kuat yang membadai selatan-tengah dan timur Amerika Syarikat (AS) dengan angin kencang serta puting beliung kini meningkat kepada lebih 20 mangsa, manakala berpuluh-puluh lagi dilaporkan cedera.
Jurucakap agensi pengurusan kecemasan di Tennessee - antara negeri paling terkesan dengan ribut yang melanda sejak kelmarin - mengesahkan tujuh kematian berkait cuaca direkodkan, setakat semalam. Selain itu, sekurang-kurang 14 kematian dilaporkan di Arkansas, Mississippi, Alabama, Indiana dan Illinois.
Cuaca buruk dengan ribut petir, hujan batu serta angin kencang menyelubungi pantai timur AS, semalam, dan ia diramalkan berterusan hingga lewat hari ini.
Kelmarin, sejumlah puting beliung - sesetengahnya dengan saiz dan kekuatan luar biasa - membadai Arkansas termasuk ibu kota, Little Rock, sehingga meragut sekurang-kurang lima nyawa, menurut Gabenor negeri itu. Ia turut mengakibatkan pelbagai kerosakan, termasuk beberapa kediaman musnah, kenderaan terbalik dan tiang elektrik serta pokok tumbang.
Susulan itu, Gabenor Arkansas, Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat dan mengaktifkan pengawal nasional untuk membantu usaha pemulihan.
wife took this from baptist hospital in LR #Tornado #littlerock #Arkansas pic.twitter.com/VqskSxjxGE
— Jesse Forrester (@Jwforr) March 31, 2023
Katanya, beliau telah bercakap dengan Presiden AS, Joe Biden yang berjanji dengan mempercepatkan bantuan Persekutuan.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Cuaca Nasional mengeluarkan amaran puting beliung bagi beberapa negeri lain, dari sejauh Iowa di utara hingga ke Mississippi di selatan, yang mana kejadian puting beliung pada minggu lalu mengorbankan seramai 25 mangsa dan memusnahkan banyak harta benda.
Bencana yang melanda bandar Belvidere di Illinois pula menyaksikan bumbung dan sebahagian bahagian hadapan bangunan Teater Apollo runtuh ketika sebuah kumpulan muzik 'heavy-metal' membuat persembahan.
Ketua Bomba Belvidere, Shawn Schadle, melaporkan satu kematian dan 28 mangsa cedera, termasuk lima dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius.
Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Illinois, Kevin Sur, berkata tiga pula maut apabila sebuah rumah runtuh, dipercayai akibat puting beliung di daerah Crawford.
Di Indiana, tiga terkorban akibat ribut di daerah Sullivan, selain puting beliung dilaporkan meragut masing-masing satu nyawa di daerah Pontotoc, Mississippi, dan daerah Madison, Alabama.
Menurut laman sesawang poweroutage.us, lebih 610,000 kediaman terputus bekalan elektrik, semalam. - AFP
2 Tornadoes coming down at once.. please pray!! #tornado #tornadoes #iowa #arkansas #illinois #Tennesse #pray #praying #ryanhallyall #ryan #storm #chaser #brandon pic.twitter.com/uoGRmvjOKG
— whitney& forrest (@whitneyforres10) March 31, 2023