Sabtu, 1 April 2023 | 11:01am
Klip video merakamkan puting beliung melanda Little Rock, Arkansas. - Foto AFP
Klip video merakamkan puting beliung melanda Little Rock, Arkansas. - Foto AFP

Arkansas terjejas teruk akibat puting beliung

WASHINGTON: Seramai 24 mangsa cedera dan dirawat di hospital akibat puting beliung membadai Arkansas semalam yang turut menyebabkan kerosakan meluas.

Gabenor Sarah Huckabee Sanders, berkata Pengawal Kebangsaan sudah diaktifkan bagi membantu perkhidmatan kecemasan 'merawat mangsa yang cedera', selain menjelaskan kerosakan signifikan berlaku di pusat bandar Arkansas.

Perkhidmatan Ramalan Cuaca Kebangsaan memberi amaran puting beliung di beberapa kawasan di Illinois, Tennessee dan Iowa, selain menjelaskan kejadian di Little Rock adalah kesan daripada fenomena itu.

Sementara itu, saksi, Lara Farrar, berkata kerosakan di barat Little Rock 'mengejutkan' dan bumbung bangunan tercabut, namun tiada kematian dilaporkan sejurus kejadian berlaku.

Katanya, kenderaan dipandunya terhalang di persimpangan ketika menuju ke lokasi terbabit, selain menyifatkan kejadian itu sangat dahsyat.

Beliau mengakui sangat terkejut kerana keseluruhan kejiranan itu musnah dan sebahagian bangunan di situ diterbangkan angin yang laluannya kira-kira setengah kilometer, selain menjelaskan kerosakan di luar kawasan berkenaan adalah sangat kecil.

Datuk Bandar Little Rock, Frank Scott pula menerusi ciapan di Twitter berkata, 24 mangsa dikenal pasti dirawat di hospital, selain kerosakan harta benda sangat teruk dan pihaknya sedang menanganinya.

Reaksi sama turut diketengahkan pihak berkuasa Pulaski yang turut mengalami kerosakan signifikan akibat kejadian itu.

Bandar Wynne yang terletak 168.98 kilometer di timur laut Little Rock mengalami kerosakan 'meluas', kata Huckabee, manakala Poweroutage.us melaporkan lebih 78,000 orang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di seluruh negeri. - AFP

Berita Harian X