WASHINGTON: Aplikasi TikTok, yang kini disoal siasat Kongres Amerika Syarikat (AS) dan mungkin diharamkan, bertindak memperkenalkan aplikasi baharu, Lemon8, serta mengajak pengguna di AS supaya jangan ketinggalan menggunakannya.
Tindakan berani itu dilakukan ketika Ketika Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Chew Shou Zi, disoal bertubi-tubi oleh penggubal undang-undang AS berhubung keselamatan aplikasi itu, yang didakwa boleh mengakses data pelanggannya.
"ByteDance, syarikat induk TikTok menjemput anda untuk menjadi pencipta pelancaran di pentas Lemon8 baharu sebelum ia dilancarkan secara rasmi di AS!" kata salah satu mesej yang dihantar kepada pemilik akaun TikTok minggu lalu.
Berdasarkan semakan dilakukan oleh The New York Times, nota dan bahan yang dipautkan pada mesej itu memaparkan matlamat Lemon8 untuk menjadi perkhidmatan media sosial global terkemuka, seperti kejayaan dilakar TikTok.
Mesej itu dikatakan diperkenalkan secara senyap-senyap di kedai aplikasi menggunakan enjin cadangan sama yang membantu TikTok berjaya dan pada mulanya menumpukan kepada segmen seperti fesyen, makanan sihat dan kesihatan.
Capaian itu ibarat petanda bahawa ByteDance kelihatan tidak terpengaruh dengan matlamatnya untuk menjadi salah satu pencipta aplikasi terkemuka dunia termasuk di AS, ketika kemuncak gesaan di Washington untuk mengharamkan aplikasi TikTok.
Malah, ada yang maklumat mengatakan ada yang memaksa pemilik TikTok atau pemilik syarikat induk dari China itu untuk menjualnya kepada pihak berkepentingan di AS.
Ketika ini, TikTok memiliki seramai 150 juta pengguna di AS, satu pencapaian yang sudah semestinya mendorong ByteDance bersemangat untuk mengguna pakai 'semangat' sama terhadap Lemon8.
Kehadiran Lemon8 turut menimbulkan kebimbangan sama seperti TikTok dalam kalangan penggubal undang-undang AS dan pengawal selia, sehingga menjadi medan pertempuran utama buat AS dan China berhubung kekuatan teknologi serta ekonomi.
Menurut pihak berkuasa Washington, TikTok mencetuskan risiko keselamatan negara apabila mendakwa Beijing boleh memperoleh akses kepada data sensitif pengguna aplikasi seperti maklumat lokasi atau China boleh menggunakan syor kandungan TikTok untuk menyebarkan maklumat salah.
Jurucakap ByteDance, Jennifer Banks, tidak menjawab pertanyaan mengenai Lemon8 termasuk sama ada syarikat itu menjangkakan sebarang kawal selia rapi pihak AS.
Lemon8 tersedia untuk dimuat turun tetapi aplikasi itu belum dilancar secara rasmi. Ini kerana, ByteDance merancang untuk mendorong pemasaran global bagi menarik lebih ramai pengguna pada Mei ini.
Memetik laporan portal dalam talian, Lemon8 dijangka memasuki pasaran AS pada Februari lalu.
Sejak memasuki pasaran Jepun pada April 2020, pengguna aplikasi Lemon8 mencecah lima juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia pada tahun lalu dan ia terus menembusi Britain, Singapura dan Indonesia. - AGENSI