Sabtu, 25 March 2023 | 5:45pm
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melihat demonstrasi pertempuran jarak dekat semasa melawat pangkalan tentera di Chiayi, Taiwan. - Foto REUTERS
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melihat demonstrasi pertempuran jarak dekat semasa melawat pangkalan tentera di Chiayi, Taiwan. - Foto REUTERS

Presiden Taiwan semak latihan ketenteraan sebelum lawatannya ke AS

CHIAYI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen hari ini berkata, mempertahankan demokrasi adalah misi 'hebat' angkatan tentera.

"Melindungi Taiwan dan mempertahankan demokrasi sentiasa menjadi misi besar tentera kita. Saya percaya, kita lebih mampu melindungi dan mempertahankan negara dengan terus melatih dan memperkukuhkan kesiapsiagaan perang tentera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pangkalan tentera di Chiayi di selatan Taiwan, diiringi Menteri Pertahanan, Chiu Kuo-cheng dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Wellington Koo.

Lawatan itu bagi meninjau aspek kejuruteraan dan menyemak latihan tentera, selain melihat mereka mendirikan penghadang antikereta kebal serta berlatih seni mempertahankan diri, menjelang perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Tengah, minggu depan.

Ing-wen yang berulang kali menawarkan rundingan dengan China berkata, Taiwan akan mempertahankan diri jika diserang, selain menegaskan hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.

China yang melihat Taiwan sebagai wilayahnya sendiri, meningkatkan tekanan ketenteraan dan politiknya sejak tiga tahun lalu, untuk mencuba dan memaksa pulau itu menerima kedaulatan China, selain menganggap Ing-wen sebagai pemisah.

Ing-wen membuat perjalanan ke AS dan Amerika Tengah, mulai Rabu ini.

China mengecam AS kerana membenarkan lawatan itu, walaupun ia secara teknikal hanyalah perjalanan transit.

Di akhir perjalanannya, Ing-wen dijangka bertemu Speaker Dewan Rakyat AS, Kevin McCarthy di Los Angeles.

China menganjurkan pertunjukan perang berhampiran Taiwan pada Ogos lalu, selepas Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi melawat Taipei. - REUTERS

Berita Harian X